RAUB, 8 Mei (Bernama) -- Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan turun padang meninjau lokasi tanah yang diceroboh dengan tanaman durian di Batu 3 Sungai Ruan-Sungai Klau di sini.
Baginda berkenan memandu sendiri kenderaan pacuan empat roda ke lokasi bercerun dan terletak di atas bukit itu dengan diiringi paduka anakanda Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Al-Sultan Abdullah bertitah meskipun pelbagai halangan yang dihadapi oleh pihak penguat kuasa, baginda mahu tindakan penguatkuasaan diteruskan dan ditingkatkan dengan cara yang berhemah dan berdisiplin.
"Saya terkejut apabila dimaklumkan 10,521 hektar (26,000 ekar) tanah di Raub telah diceroboh...saya nak kerajaan negeri berkeras dalam hal ini, harus dapatkan penyelesaian terbaik dan secepat mungkin, kita tak boleh biarkan kegiatan ini bukan sahaja di Raub bahkan di seluruh Pahang
"Tindakan seterusnya semua pihak harus bekerjasama, kita tak boleh biarkan aktiviti haram ini diteruskan. Mana-mana pihak nak buat permohonan (pemilikan tanah) silalah buat secara rasmi mengikut proses ditetapkan," titah baginda ketika ditemui pemberita di lokasi berkenaan.
Hadir sama Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Nazri Abu Bakar dan Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman.
Baginda bertitah tindakan penguatkuasaan terhadap pencerobohan merupakan hala tuju kerajaan dalam mengurus tadbir hal tanah di negeri ini dengan lebih baik dan teratur.
"Kita berusaha untuk menoktahkan isu ini secara berperingkat, tak boleh sekali gus agak susah, sekurang-kurangnya kita ada haluan ke arah itu, kalau tidak isu pencerobohan ini akan berterusan dan tindakan sewajarnya akan diambil serta hukuman lebih berat akan dikenakan," titah baginda.
Sultan Pahang turut meluahkan rasa kesal dengan kawasan Cameron Highlands yang diterokai antaranya di Lembah Bertam yang baginda gambarkan sebagai 'hutan plastik’.
"Memang saya selalu ke sana dan bila terbang rasa sedih kerana lalu di atas Lembah Bertam, tengok dah macam bukan hutan lagi tetapi hutan plastik...nasi dan jadi bubur, kita akan kaji dan lakukan tindakan susulan," titah baginda.
Terdahulu Al-Sultan Abdullah berkenan mendengar sembah taklimat daripada Ketua Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang Saifullah Muhammad Ali yang memaklumkan perancangan dan tindakan penguatkuasaan yang telah dan akan dilaksanakan terhadap lokasi diceroboh.
Saifullah berkata Pihak Berkuasa Negeri (PBN) memberi masa dan peluang kepada pekebun haram untuk menyertai skim pemutihan selain bercadang mengadakan kerjasama dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri kerana hampir keseluruhan pekebun haram tidak membayar cukai berikutan tiada pemilikan tanah yang sah.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial