MELAKA, 7 Mei ( Bernama) -- Bayi lelaki berusia dua bulan yang sebelum ini kritikal selepas dipercayai didera ibu bapanya hingga tidak sedarkan diri, kini menunjukkan perkembangan positif.
Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata bayi terbabit sudah mula sedar dan minum susu menggunakan tiub sejak petang tadi, meskipun keadaannya masih lemah.
“Bayi berkenaan masih ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU), Hospital Melaka, namun keadaannya semakin baik,” katanya ketika dihubung di sini hari ini.
Terdahulu, media melaporkan ibu dan bapa bayi itu, masing-masing berusia 22 tahun, direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes dera membabitkan anak mereka di sebuah rumah di Sungai Petai, Alor Gajah.
Siasatan awal mendapati ibu bayi berkenaan mendakwa anaknya mengalami sawan dan tidak sedarkan diri ketika menerima rawatan di Hospital Alor Gajah, sebelum dirujuk ke Hospital Melaka.
Bagaimanapun, pakar perubatan di Hospital Melaka mengesyaki berlaku penderaan selepas pemeriksaan termasuk imbasan CT mendapati terdapat kecederaan lama dan baharu, selain kesan lebam serta luka pada badan dan leher bayi terbabit.
– BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial