KUALA LUMPUR, 7 Mei (Bernama) -- Datuk Seri Rafizi Ramli hari ini mengesahkan akan terus mempertahankan jawatan Timbalan Presiden PKR, sambil mengalu-alukan jawatan itu untuk dipertandingkan pada pemilihan parti berkenaan akhir bulan ini.
Rafizi yang juga Menteri Ekonomi berkata pertandingan untuk merebut jawatan nombor dua parti itu adalah hak masing-masing dan wajar diraikan dalam semangat demokrasi.
“Saya mengalu-alukan pertandingan bagi jawatan Timbalan Presiden dalam pemilihan kali ini dan akan turut serta calon-calon lain menggunakan pentas pemilihan kali ini untuk memperkuat parti. Ia keputusan yang menang-menang bagi saya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut menerima baik berita berhubung beberapa pimpinan Cabang parti itu yang menyatakan sokongan agar Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar serta bekas Setiausaha Agung PKR yang juga Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden parti itu.
“Kita perlu menerima hakikat beberapa kontroversi yang timbul akibat pemilihan kali ini (kecil atau besar) sedang diperhatikan rakyat. Sebab itu, saya berpendapat apa pun isu berbangkit, baik mengenai sistem, aduan atau perkara lain, perlu ditangani secara berhemah kerana tingkah laku kita sepanjang proses ini dinilai rakyat.
“Saya juga bersyukur kerana pengalaman 26 tahun dalam parti ini mendidik saya bahawa sesuatu jawatan itu adalah amanah yang berat, apatah lagi jawatan sebagai menteri,” kata Rafizi yang juga Ketua Cabang PKR Pandan, sambil menambah bahawa setiap keputusan yang dibuat mesti dipandu mengikut kebertanggungjawaban dan tidak berkait dengan pangkat serta kedudukan.
Rafizi bagaimanapun berkata apa sahaja pilihan yang diambil perwakilan parti, ia akan membuka ruang kepadanya untuk menawarkan sumbangan dalam menguatkan parti menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
“Jika saya dipilih, saya boleh terus memainkan peranan di dalam kepimpinan parti sebagai Timbalan Presiden dan dalam kerajaan melalui saluran kerajaan. Jika saya tidak dipilih, saya boleh kembali sebagai seorang pemimpin akar umbi yang lincah berkempen di bawah,” katanya.
Rafizi turut memberitahu beliau telah membuat permohonan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Presiden PKR untuk bercuti daripada tugas rasmi bagi memberi tumpuan meredakan keadaan di peringkat akar umbi PKR.
Pencalonan Pemilihan PKR 2025 bagi peringkat Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pusat dan Wanita Pusat akan berlangsung selama dua hari bermula esok secara dalam talian.
Kongres Nasional PKR termasuk Kongres AMK dan Kongres Wanita akan diadakan di Johor Bahru pada 21 hingga 24 Mei ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial