POLITIK

13 Ketua Cabang PKR Di Kelantan Sokong Nurul Izzah Tanding Timbalan Presiden

08/05/2025 12:10 AM

KOTA BHARU, 7 Mei (Bernama) -- Sebanyak 13 Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kelantan menyatakan sokongan terbuka kepada Nurul Izzah Anwar untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden parti itu bagi sesi 2025-2028.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Kelantan Datuk Seri Mohamad Suparadi Md Noor berkata sokongan itu diberikan kerana Nurul Izzah yang juga Naib Presiden PKR merupakan pemimpin berpengalaman dan kelebihan itu mampu memperkukuhkan lagi parti.

"Melalui pengalaman beliau (Nurul Izzah) selama lebih 25 tahun dalam politik serta keperibadiannya sentiasa bersama akar umbi, ia dapat membantu parti ke arah hala tuju lebih berkesan dalam menghadapi suasana politik yang semakin mencabar," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata 13 ketua cabang yang memberi sokongan kepada Nurul Izzah adalah Tanah Merah, Kota Bharu, Gua Musang, Bachok, Ketereh, Pasir Puteh, Machang, Kubang Kerian, Rantau Panjang, Tumpat, Pasir Mas, Jeli dan Kuala Krai.

Sebelum ini, beberapa pemimpin PKR dan ketua-ketua cabang parti itu dari beberapa negeri termasuk Johor, Wilayah Persekutuan, Melaka dan Selangor secara terbuka menyatakan sokongan terhadap pencalonan Nurul Izzah untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden.

Pencalonan Pemilihan PKR 2025 bagi peringkat Majlis Pimpinan Pusat (MPP), AMK Pusat dan Wanita Pusat akan berlangsung selama dua hari bermula esok secara dalam talian.

Pengundian Pemilihan Peringkat Pusat dan Perasmian Kongres Nasional PKR 2024/2025 pula akan diadakan pada 23 Mei manakala Kongres Nasional PKR 2024/2025 pada 24 Mei.

Sementara itu di SABAH,seramai 21 ketua cabang PKR menyatakan sokongan dan menyifatkannya sebagai tokoh wanita muda yang berprinsip, berwibawa serta berpengalaman lebih dua dekad dalam perjuangan reformasi.

Ketua cabang yang terlibat ialah Kota Belud, Sepanggar, Kudat, Kinabatangan, Penampang, Kota Marudu, Kota Kinabalu, Kimanis, Sandakan, Tawau, Beaufort, Ranau, Papar, Beluran, Libaran, Pensiangan, Silam, Sipitang, Batu Sapi, Tenom dan Kalabakan.

Dalam kenyataan bersama, semua ketua cabang terbabit turut menyatakan kesediaan menyokong sebarang keputusan Nurul Izzah berkaitan jawatan Timbalan Presiden sekiranya ia membawa manfaat kepada perjuangan parti.

“Kehadiran beliau dalam barisan kepimpinan tertinggi dijangka memberi nafas baharu dan memperkukuh agenda reformasi, khususnya dalam memperjuangkan suara akar umbi serta pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) di Sabah.

“Kami yakin ketokohan beliau sebagai Puteri Reformasi mampu memartabatkan imej parti dalam kalangan generasi muda, sekali gus memberi harapan dan suntikan semangat kepada gerakan reformasi bagi menjayakan gagasan Malaysia MADANI,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan