JENAYAH & MAHKAMAH

Remaja Perempuan Hilang, Dipercayai Lari Dari Rumah

07/05/2025 11:38 AM

KUANTAN, 7 Mei (Bernama) -- Seorang remaja perempuan dilaporkan hilang dan dipercayai melarikan diri dari rumah keluarganya di Taman Mahkota Permai di sini sejak awal pagi semalam.

Putri Alya Husna Mohd Jabar, 15, disedari hilang oleh bapanya pada kira-kira 3 pagi (Selasa) selepas mendapati anaknya tiada di dalam rumah. 

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Wan Zahari Wan Busu berkata siasatan awal mendapati kali terakhir mangsa dilihat oleh bapanya ialah pada pukul 10.30 malam Isnin ketika mangsa sedang makan di rumah.

“Pengadu memaklumkan tiada sebarang masalah atau pertengkaran berlaku antara mereka sekeluarga dengan mangsa. Beliau juga memberitahu mangsa pernah keluar rumah sebelum ini tetapi akan pulang semula,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata mangsa tidak mempunyai rakan rapat sejak keluarganya berpindah dari Taman Tas ke Taman Mahkota Permai, dan sehingga kini masih belum bersekolah.

Menurutnya, mangsa tidak mempunyai telefon bimbit kerana telah dirampas oleh bapanya disebabkan remaja itu sering keluar rumah tanpa memaklumkan kepada ibu bapanya.

Wan Zahari berkata, mangsa mempunyai ketinggian dianggarkan antara 160 hingga 165 sentimeter, berambut lurus paras pinggang berwarna hitam, berbadan kurus, berwajah bersih dan tidak mempunyai sebarang parut.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan