AM

Himpunan Bantah Pamer Harga Ubat: KKM Teliti Permintaan Dalam Memorandum

06/05/2025 06:08 PM

KUALA LUMPUR, 6 Mei (Bernama) -- Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad memberi jaminan akan meneliti setiap tuntutan dalam memorandum yang dikemukakan oleh mereka yang menyertai himpunan membantah peraturan mewajibkan mempamer harga ubat hari ini. 

Dzulkefly berkata beliau maklum mengenai himpunan itu yang berlangsung hari ini di Putrajaya itu dan adalah mustahak baginya untuk memberi pertimbangan sewajarnya setelah meneliti memorandum berkenaan. 

“Saya pastinya akan dapat menerima memorandum mereka. Saya akan teliti satu persatu permintaan mereka,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pemeteraian Nota Kerjasama antara Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Kesihatan (KKM) Dalam Pelaksanaan Program SDH (Sekolah Dalam Hospital) dan Majlis Perasmian Program SDH di Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC) di sini hari ini. 

Terdahulu media melaporkan mengenai kumpulan doktor dan pengamal perubatan yang menyertai himpunan membantah penggunaan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723).

Ia berkaitan peraturan mewajibkan klinik swasta dan farmasi mempamerkan harga ubat-ubatan mulai 1 Mei lepas.

Bagaimanapun, dilaporkan kumpulan berkenaan bersurai secara berperingkat bermula 11.30 pagi sebaik sahaja wakil kumpulan itu selesai bertemu dan menyerahkan memorandum berkaitan perkara itu kepada wakil Pejabat Perdana Menteri (PMO) di Bangunan Perdana Putra di sini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan