AM

Nasi Goreng Tomyam Disyaki Punca 43 Pelajar Sekolah Keracunan Makanan

06/05/2025 03:17 PM

TELUK INTAN, 6 Mei (Bernama) -- Nasi goreng tomyam disyaki menjadi punca 43 pelajar Sekolah Menengah San Min di Jalan Sungai Nibong di sini mengalami keracunan makanan bulan lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak A. Sivanesan berkata punca jangkitan disyaki melalui makanan yang disediakan kantin sekolah berkenaan pada 21 April lepas.

Beliau berkata kes keracunan mula dikesan apabila dua pelajar mempunyai gejala pada 22 April disusuli notifikasi rasmi ke Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Hilir Perak dua hari kemudiannya.

“Kesemua pelajar berusia 13 hingga 18 tahun itu mengalami gejala seperti sakit perut, cirit birit, muntah serta demam, dan mereka diberikan rawatan pesakit luar dan berada dalam keadaan stabil.

“Dua sampel klinikal mendapati positif jangkitan norovirus dan sapovirus. Siasatan lanjut masih dijalankan oleh PKD Hilir Perak bagi mengenal pasti punca sebenar jangkitan dan faktor penyumbang kejadian ini,” katanya pada sidang media selepas melawat sekolah berkenaan hari ini.

Mengulas lanjut, Sivanesan berkata hasil pemeriksaan PKD Hilir Perak di kantin sekolah berkenaan mendapati tahap kebersihan adalah tidak memuaskan. 

Beliau berkata arahan penutupan selama empat hari ke atas kantin sekolah itu dikeluarkan di bawah Seksyen 18(1)(f), Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342] berkuat kuasa serta-merta.

“Pihak kantin telah mengambil tindakan penambahbaikan seperti yang diarahkan, dan setelah penilaian semula dijalankan, premis dibenarkan beroperasi semula selepas diarahkan tutup,” katanya.

Dalam pada itu, Sivanesan berkata Jabatan Kesihatan Negeri Perak akan terus memantau situasi itu dan bekerjasama dengan semua pihak berkaitan bagi memastikan tahap kesihatan pelajar dan keselamatan makanan di sekolah sentiasa terpelihara.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan