AM

Malaysia-Jepun Sedia Teroka Pembangunan Tenaga Hijau, Teknologi Mampan - Fadillah

06/05/2025 03:05 PM

KUALA LUMPUR, 6 Mei (Bernama) -- Malaysia dan Jepun bersedia meneroka peluang kerjasama dalam pembangunan tenaga hijau dan teknologi mampan demi masa depan yang lebih lestari, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata perkara itu dinyatakan semasa pertemuan bersama bekas Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida, yang berperanan sebagai utusan khas kepada Perdana Menteri Jepun, di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata peluang kerjasama itu selari dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR) yang menyasarkan peluang pelaburan RM435 bilion hingga RM1.85 trilion menjelang 2050, selain membuka usaha sama yang memberi manfaat kepada alam sekitar dan ekonomi.

Fadillah dan Kishida yang juga perancang utama inisiatif Komuniti Pelepasan Sifar Asia (AZEC) turut menyentuh pelbagai aspek penting lain.

“Ia termasuk peranan AZEC dalam memperkukuh kerjasama dua hala, serantau dan global,” katanya menerusi catatan di Facebooknya hari ini.

AZEC ialah platform kerjasama bertujuan memajukan neutraliti karbon dan peralihan tenaga untuk mencapai sasaran pelepasan sifar.

Selain Malaysia dan Jepun, negara-negara AZEC termasuk Australia, Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan