DUNIA

Pendaki Malaysia Yang Terjatuh Di Gunung Rinjani Ditemukan Meninggal Dunia -- Pihak Berkuasa Taman Negara

04/05/2025 07:42 PM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 4 Mei (Bernama) -- Pendaki warga Malaysia yang dilaporkan terjatuh di laluan Banyu Urip, Gunung Rinjani di Pulau Lombok, Nusa Tenggara Barat ditemui meninggal dunia oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) Indonesia pada Ahad, menurut pihak taman negara.

Balai Taman Nasional Gunung Rinjani (BTNGR) memaklumkan pasukan SAR telah membawa keluar jenazah pendaki, yang dikenali dengan inisial, RAG, 57 tahun, dari bawah jurang sekitar 80 meter pukul 10.30 pagi waktu tempatan.

“Jenazah dibawa pasukan SAR sedang dalam perjalanan menuju ke pintu masuk pendakian Torean dan akan dibawa ke Hospital Polis (Bhayangkara) di Mataram untuk pengurusan jenazah,” kata BTNGR dalam satu kenyataan.

Berdasarkan maklumat daripada jurupandu dan rakan mangsa, insiden bermula sekitar pukul 11 pagi pada Sabtu apabila kumpulan pendaki berhenti untuk mengambil air minum di sumber mata air Banyu Urip, namun RAG terus berjalan dan tidak berhenti untuk berehat, kata pihak taman negara.

“Ketua kumpulan kemudian menyusul mangsa di laluan yang mempunyai tali susur tangan keselamatan untuk membantunya melintas namun mangsa enggan,” menurut kenyataan itu..

Semasa turun, BTNGR berkata mangsa tidak memegang tali susur tangan keselamatan di laluan itu dan pijakan kakinya meleset, menyebabkan mangsa hilang keseimbangan dan jatuh ke arah kanan di laluan pendakian.

RAG memulakan pendakian melalui laluan Sembalun pada 1 Mei bersama kumpulan seramai 23 orang.

Pihak taman negara merakamkan ucapan takziah kepada keluarga dan rakan mangsa.

“Semoga kejadian ini menjadi peringatan bersama bahawa setiap langkah di alam memerlukan kerjasama, berhati-hati, dan harus mematuhi prosedur keselamatan.

“Alam sememangnya indah, tetapi juga tidak dapat diramal. Marilah kita menjaga diri, menjaga sesama kita,” nasihat BTNGR.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan