JENAYAH & MAHKAMAH

Datuk Tak Sangka Niat Cucu Bantu Cari Rezeki Bertukar Tragedi

04/05/2025 10:16 PM

KUALA KRAI, 4 Mei (Bernama) -- Datuk kepada dua beradik lelaki Orang Asli yang dikhuatiri lemas di Sungai Kampung Kilat di sini tidak menyangka niat cucu-cucunya untuk membantunya mencari rezeki dengan mengikutnya ke kampung berkenaan bertukar tragedi.

Hamzah Yahya, 62, berkata Irruwan, 17, dan Rahidi Rantau, 16, mengikutnya ke kampung itu pada Khamis lepas bersama-sama kira-kira 30 individu lain untuk bekerja di ladang tembikai di situ.

“Kami datang dari Rompin, Pahang. Kedua-dua cucu saya memang bersemangat nak bantu saya tanam benih tembikai tetapi tidak sangka berakhir begini (dikhuatiri lemas),” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian hari ini.

Hamzah berkata sebelum kejadian, Irruwan dan Rahidi ada memaklumkan mahu memancing di tebing sungai, namun tidak lama kemudian, sepupu mereka berlari pulang dalam keadaan panik memberitahu adik beradik berkenaan hilang dihanyutkan arus ketika mandi.

“Saya dan dua anak terus ke sungai. Kami cari… panggil nama Irruwan dan Rahidi tetapi tak jumpa, sebelum akhirnya saya buat laporan polis,” katanya sambil menambah kedua-dua cucunya itu pertama kali mengikutnya keluar daerah.

Sebaik dimaklumkan berkaitan kejadian, ibu bapa kedua beradik itu, katanya bergegas dari Rompin kira-kira 10 malam semalam dan tiba di lokasi kejadian 11 pagi tadi.

Sepupu mangsa, Rosyam Nor, 14, pula berkata dia bersama-sama Irruwan dan Rahidi turun ke sungai itu untuk mencari cacing bagi dijadikan umpan memancing.

“Irruwan ajak mandi. Saya sudah larang kerana air deras tetapi dia tetap turun ke sungai. Tidak sampai lima minit, dia mula tenggelam. Rahidi pula terus terjun nak selamatkan abangnya, tetapi dua-dua terus hilang dihanyutkan arus,” katanya.

Rosyam berkata dia kemudian pulang ke rumah, namun mengambil masa untuk memaklumkan kejadian kepada neneknya kerana terlalu terkejut, sebelum akhirnya menceritakan tentang kejadian disebabkan bimbang kedua-dua mangsa hanyut lebih jauh.

Terdahulu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Durian Muhaimi Hashim dilaporkan berkata pihaknya menerima panggilan berkaitan kejadian pada 10.21 malam semalam sebelum bergegas ke lokasi bersama tujuh anggota.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Durian Zulhilmi Baharudin berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) Irruwan dan Rahidi ditangguhkan kira-kira 7 malam tadi.

Beliau berkata setakat ini pihaknya tidak menemukan sebarang petunjuk dan pencarian akan disambung  pagi esok susulan arus sungai yang deras selain cuaca tidak menentu dan mengambil kira keselamatan pasukan penyelamat.

"Radius pencarian kedua-dua mangsa hari ini adalah pada jarak lima hingga 10 kilometer dari tempat kejadian. Operasi melibatkan pencarian di permukaan sungai, selaman selain rondaan bot yang dibahagikan kepada beberapa kawasan zon pencarian,” katanya.

Beliau berkata operasi SAR terbabit disertai 48 anggota termasuk Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) BBP Pengkalan Chepa dan BBP Machang, polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia serta dibantu penduduk kampung dan pemilik kebun.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan