Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz
SINGAPURA, 3 Mei (Bernama) -- Hujan di beberapa kawasan di Singapura pada pagi Sabtu mengiringi pembukaan pusat pengundian bagi Pilihan Raya Umum ke-14 republik itu sejak merdeka, ketika para pengundi mula keluar menunaikan tanggungjawab mereka.
Namun, keadaan itu tidak menjejaskan semangat demokrasi apabila pengundi keluar awal di 1,240 pusat pengundian untuk mengundi dalam Pilihan Raya Umum 2025 (PRU2025) yang paling mendapat perhatian dalam sejarah negara itu.
Ramai pengundi yang hadir dengan tekad dan renungan yang tenang — dan sebahagiannya dengan harapan di hati mereka — bersedia membuat pilihan yang mereka percaya akan membentuk masa depan Singapura dalam suasana yang penuh ketidaktentuan.
Menurut Jabatan Pilihan Raya (ELD), lebih 1.26 juta atau 48 peratus pengundi berdaftar telah mengundi setakat tengah hari.
Suziani, 40, pengundi di Kawasan Undi Perwakilan Kumpulan (GRC) Aljunied, berkata beliau merasai beban tanggungjawab itu hingga ke saat akhir.
“Saya sebenarnya sudah tahu siapa yang saya mahu undi, tetapi saya mula goyah pada saat-saat akhir dan hampir berubah fikiran. Saya rasa masih banyak aspek di Singapura yang perlu diperbaiki, termasuk pendidikan,” katanya.
Sebagai petugas kesihatan yang aktif dalam kerja sukarela, Suziani berkata pengalamannya banyak membentuk perspektif dan membuatkannya mempersoalkan banyak perkara.
“Terdapat banyak yang diperkatakan tentang sokongan kepada golongan muda dan warga emas, tetapi saya rasa generasi "sandwich" sangat tertekan,” tambahnya.
Beliau mengakui bahawa sebagai ahli komuniti minoriti, latar belakangnya pernah mempengaruhi keputusan pengundiannya — namun beliau kini akur bahawa perubahan berkaitan perkara itu ada hadnya.
Bagi beliau, parti dan isu yang diperjuangkannya menjadi faktor terpenting dalam keputusannya.
Pengundi kali pertama, Nadine Lee, 23, berkata beliau sudah membuat keputusan lebih awal, tetapi kempen pilihan raya membantu mengukuhkan pilihannya.
“Saya mengundi calon yang saya percaya tidak akan mengambil mudah undi saya. Saya tidak tertumpu pada satu isu khusus, tetapi lebih kepada komitmen mereka untuk membantu negara,” katanya, sambil menambah bahawa media tradisional membantunya membuat keputusan.
“Saya tidak fikir TikTok atau media sosial adalah tempat terbaik untuk mendapatkan maklumat apabila membuat keputusan penting seperti ini,” tambahnya.
Pasangan suami isteri, Joseph, 60, dan Suzanne, 50, pula berkata mereka mengundi bukan sahaja untuk diri sendiri, tetapi juga demi masa depan tiga anak mereka, terutamanya berkaitan kos sara hidup dan inflasi.
“Kita semua berada dalam situasi yang sama. Tidak kira daripada parti kerajaan atau pembangkang — apabila anda berada di Parlimen, anda perlu bekerjasama. Ini perkara yang kerajaan perlu ambil perhatian,” kata Joseph.
“Kos sara hidup benar-benar memberi kesan kepada keluarga berpendapatan sederhana seperti kami. Kami tidak layak untuk banyak bantuan, tetapi kami masih perlu menjaga ibu bapa dan anak-anak. Gaji kami pula tidak naik secepat inflasi,” kata Suzanne.
“Dulu semasa kami muda, kami boleh bercita-cita memiliki rumah. Pada masa ini, sukar bagi anak-anak saya berbuat demikian tanpa bantuan. Saya tahu kerajaan sedang berusaha. Saya bukan kata mereka tak buat apa-apa,” tambahnya.
Pengundi kali pertama, Prashant dari Serangoon, turut berada dalam kelompok awal yang keluar mengundi walaupun hujan. Katanya, beliau teruja dan gembira dengan proses pengundian sebagai warganegara baharu.
“Saya tahu siapa yang saya mahu undi sejak awal lagi. Sebenarnya, saya sudah lama menunggu peluang ini,” katanya, sambil merancang untuk mengikuti keputusan pilihan raya di rumah.
Sementara itu, Balakrishnan dari Hougang berkata beliau berharap mendapat perwakilan yang lebih adil di Parlimen.
“Saya fikir perlu ada lebih banyak suara dan demokrasi dalam Parlimen. Adalah penting untuk pandangan kita disuarakan,” katanya.
Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) meramlkan cuaca akan kekal sebahagiannya mendung hingga malam ini.
Proses pengundian sedang berlangsung dan akan berakhir pada pukul 8 malam.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial