AM

Johan Tilawah Kebangsaan Mampu Ulangi Kejayaan Malaysia Di Peringkat Antarabangsa - Ahmad Zahid

03/05/2025 05:27 PM

KUALA LUMPUR, 3 Mei (Bernama) -- Qari Perak Aiman Ridhwan Mohamad Ramlan dan qariah Terengganu Wan Sofea Aini Wan Mohd Zahidi yang menjuarai Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan 1446H/2025M diyakini mampu mengulangi kejayaan Malaysia di pentas antarabangsa.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi percaya dengan bimbingan, doa serta usaha berterusan, kedua-dua mereka yang disifatkan beliau sebagai 'permata ummah' itu berupaya melakar kejayaan membanggakan di peringkat antarabangsa.

“Insya-Allah, kedua-dua mereka akan menggalas amanah besar mewakili Malaysia di pentas antarabangsa kelak.

“Malaysia pernah melakar kejayaan membanggakan di pentas antarabangsa dalam bidang tilawah dan hafazan, insya-Allah kita mampu mengulangi pencapaian tersebut,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Aiman Ridhwan dan Wan Sofea Aini muncul johan tilawah al-Quran pada Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTQHK) Tahun 1446H/2025M yang melabuhkan tirai di Kangar, Perlis semalam.

Mereka masing-masing membawa pulang wang tunai RM20,000 dan tambahan RM10,000 untuk menunaikan haji berserta piala, cenderamata dan sijil penyertaan, selain menerima satu dinar emas Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) Gold dan telefon pintar.

Ahmad Zahid menerusi hantaran sama turut mengucapkan tahniah kepada Aiman Ridhwan dan Wan Sofea Aini serta berharap kejayaan itu menjadi pendorong kepada lebih ramai anak muda Malaysia untuk mendalami dan mencintai al-Quran, bukan sahaja sebagai bacaan tetapi juga sebagai panduan hidup.

“Marilah bersama-sama kita membina sebuah generasi yang berjiwa al-Quran, berakhlak mulia dan menjadi rahmat kepada negara serta umat,” katanya.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan