DUNIA

Pengecualian Visa Tepat Pada Masanya, Pencapaian Baharu Hubungan Dengan Malaysia - Presiden Kosovo

03/05/2025 03:21 PM

Oleh Rohani Ibrahim

KUALA LUMPUR, 3 Mei (Bernama) -- Keputusan Malaysia untuk memberikan pengecualian visa kepada semua warganegara Kosovo bagi tempoh sehingga 30 hari menandakan satu pencapaian baharu yang akan memperkukuh hubungan dua hala antara kedua-dua negara.

Langkah itu dijangka menjadi pemangkin bukan sahaja untuk memperdalam penglibatan antara kerajaan, merangsang perdagangan dua hala dan aktiviti perniagaan, malah memperluas pertukaran antara rakyat dalam pelbagai bidang seperti kebudayaan, pendidikan dan pelancongan.

Presiden Kosovo Dr Vjosa Osmani Sadriu berkata berita itu disambut baik oleh rakyat Kosovo selepas kerajaannya mengumumkan bahawa Malaysia telah menghapuskan sekatan visa terhadap warganya baru-baru ini.

“Jadi, ini menjadi berita besar di negara kami. Saya pasti ramai yang ingin melawat (Malaysia) sekarang,” katanya kepada Bernama dan RTM dalam temu bual eksklusif pada Jumaat di luar lawatan rasmi beliau ke Malaysia.

Presiden Osmani pada 25 April lepas menerusi hantaran di platform X beliau telah menyatakan penghargaan kepada Malaysia atas pengecualian visa kepada semua warganegara republik itu untuk lawatan sehingga 30 hari.

Menurut beliau, Kosovo sebelum ini telah memansuhkan sekatan visa untuk rakyat Malaysia yang membolehkan mereka melawat Kosovo tanpa sekatan sehingga 90 hari dan kini Malaysia telah membalasnya.

Beliau berkata langkah itu sebagai keputusan yang sangat tepat pada masanya dan dialu-alukan yang menunjukkan dedikasi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memperkukuh hubungan antara kedua-dua negara.

“Kami berharap untuk melihat lebih ramai rakyat kami melawat Malaysia,” katanya.

Presiden Osmani turut menyatakan hasrat agar wujud penerbangan terus antara Kosovo dan Malaysia pada masa akan datang bagi memudahkan komunikasi dan perjalanan serta meningkatkan sektor pelancongan antara kedua-dua negara.

“Ketika ini pun, pilihan penerbangan adalah sangat baik, kebanyakannya melalui Istanbul dan terdapat juga laluan lain yang beroperasi setiap hari. Namun, penerbangan terus sentiasa menjadi cara yang lebih mudah untuk memperluas komunikasi dan perjalanan,” tambahnya.

Beliau berkata rakyat Kosovo kebiasaannya datang ke Malaysia bagi tujuan pelancongan dan pada masa sama Kosovo juga giat berusaha dan melabur dalam sektor pelancongannya, khususnya pelancongan kawasan tanah tinggi.

Osmani berkata hubungan antara rakyat Kosovo dan Malaysia kekal kukuh, dengan menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi Malaysia terhadap Kosovo semasa detik paling sukar pada 1999, dan pengiktirafan awal kemerdekaan Kosovo pada 2008.

“Pada ketika itu, banyak negara menyokong kami dan Malaysia antara yang terawal. Sokongan Malaysia membantu dalam usaha membina semula negara kami,” katanya.

Menurut Osmani, Kosovo secara praktikalnya hampir perlu membina semula negara itu daripada kehancuran dan Malaysia membantu negara itu menerusi projek pembinaan keamanan serta ketika proses mencapai kemerdekaan dan pembinaan negara.

“Jadi dalam semua fasa ini, Malaysia bersama kami dan rakyat Kosovo sangat berterima kasih,” tambah beliau.

Malaysia secara rasmi mengiktiraf Kosovo pada 30 Okt 2008, menjadikannya antara negara Asia terawal berbuat demikian. Hubungan diplomatik kedua-dua negara dimeterai pada 18 Mac 2011.

Pada 2024, jumlah perdagangan dua hala Malaysia-Kosovo mencecah RM28.55 juta (US$6.0 juta), dengan eksport Malaysia bernilai RM25.92 juta (US$5.5 juta) manakala import berjumlah RM2.63 juta (US$550,000).

Antara eksport utama Malaysia ialah minyak sawit, produk elektrik dan elektronik, serta barangan perkilangan, manakala import dari Kosovo kebanyakannya terdiri daripada bahan mentah dan batu separa berharga.

Presiden Osmani turut berharap lawatan sulungnya selama empat hari ke Malaysia akan dapat mencetuskan minat yang lebih mendalam dalam kalangan rakyat Malaysia terhadap Kosovo, sekali gus membantu mewujudkan hubungan lebih erat antara warganegara kedua-dua negara.

“Terdapat ramai pelajar Kosovo yang datang melanjutkan pelajaran di Malaysia dan mereka telah menyumbang kepada hubungan ini.

“Dan seperti saya katakan, banyak lawatan pelancongan sedang berlaku yang turut mengukuhkan ikatan ini. Tetapi kami sangat berharap bahawa lebih banyak lagi akan datang, dan hubungan rakyat ini akan berkembang lebih pantas dari sekarang,” tambahnya.

Semasa lawatan rasmi empat harinya ke Malaysia dari 1 Mei, Osmani turut menyatakan kesediaan Kosovo untuk bekerjasama dengan Malaysia antaranya dalam bidang seperti keselamatan siber, memerangi keganasan, respons bencana dan pendidikan.

Beliau turut menganugerahkan Anwar dengan Order of Independence, anugerah awam tertinggi Kosovo, sebagai mengiktiraf sokongan Malaysia yang tidak berbelah bagi untuk kenegaraan Kosovo dan atas komitmen teguh Perdana Menteri untuk mengukuhkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan