AM

LIMA'25: Platform Strategik Malaysia Meterai MoU Pertahanan Dan Inovasi - Adly

03/05/2025 01:06 PM

GUA MUSANG, 3 Mei (Bernama) -- Malaysia dijangka meraih pelbagai manfaat menerusi Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2025 (LIMA’25), termasuk memperkukuh kerjasama dengan negara terlibat dalam acara berkenaan yang dijadualkan berlangsung dari 20 hingga 24 Mei ini, kata Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari.

Beliau berkata LIMA’25 merupakan platform utama bagi industri aeroangkasa dan maritim untuk berbincang serta memeterai memorandum persefahaman (MoU) yang mampu meningkatkan kerjasama strategik antara pelbagai pihak.

“Memang akan ada banyak MoU dimeterai, terutamanya berkaitan aset-aset pertahanan sama ada darat, laut mahupun udara.

“Kita akan manfaatkan pameran ini sebagai medan hubungan dua hala kerana turut diadakan persidangan dan pertemuan khusus bagi mengukuhkan persefahaman dengan negara-negara yang terlibat, khususnya negara anggota ASEAN,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Veteran Desa MADANI di Masjid Jamek Tengku Muhammad Fa-iz Petra di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Adly berkata pihaknya kini berada pada tahap akhir persiapan penganjuran dan berharap LIMA’25 dapat dilaksanakan dengan lancar seperti yang dirancang.

“Ketika ini, kita sedang melengkapkan aturan jemputan luar negara serta penglibatan industri dalam LIMA’25 agar pameran berjalan lancar.

“Komitmen daripada pempamer antarabangsa sangat tinggi. Saya percaya tahun ini kita bukan sahaja akan mempamerkan aset-aset pertahanan, tetapi turut menonjolkan pembangunan industri tempatan menerusi kerjasama antara kerajaan, sektor swasta dan negara luar,” ujarnya.

LIMA’25 merupakan anjuran bersama antara Kementerian Pertahanan dengan Global Exhibitions and Conferences Sdn Bhd (GEC) yang memberi penekanan kepada inovasi dan peningkatan daya saing dalam kalangan pemain industri sejajar perkembangan teknologi semasa.

Bertemakan “Kemajuan Hari Ini, Pencapaian Masa Hadapan”, LIMA’25 yang akan berlangsung di Langkawi, Kedah merupakan antara pameran terbesar dalam industri maritim dan aeroangkasa di Asia Tenggara sejak dianjurkan kali pertama pada 1991.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan