SUKAN

UTM Anjur 'Sports Synergy Carnival' Pada 10 Hingga 11 Mei

03/05/2025 12:11 PM

KUALA LUMPUR, 3 Mei (Bernama) -- Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan kerjasama Pusat Sukan Universiti Malaya (UM) dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) bakal menganjurkan Sports Synergy Carnival pada 10 hingga 11 Mei. 

UTM dalam kenyataan hari ini memaklumkan kejohanan yang memasuki edisi kedua itu akan menghimpunkan sembilan kontinjen terdiri daripada universiti dan agensi awam sekitar Lembah Klang, antaranya UTM, UM, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Hospital Kuala Lumpur, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Kementerian Pertahanan Malaysia, Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur dan Bernama.

Menurut kenyataan itu, lebih 600 atlet akan menyertai kejohanan berkenaan yang akan dijalankan serentak di empat lokasi sekitar Lembah Klang, termasuk Kampus UTM Kuala Lumpur dan UM dengan sokongan 80 petugas sekretariat.

“Penganjuran kejohanan itu bertujuan memperkasakan pembangunan bakat sukan dalam kalangan staf serta mengukuhkan jalinan kerjasama dan ukhuwah antara institusi pengajian tinggi awam dan agensi kerajaan.

“Ini juga penganjuran sulung yang melibatkan penyertaan agensi awam, dengan UM sebelum ini muncul juara keseluruhan pada edisi pertama kejohanan pada 2022,” menurut kenyataan itu.

Sebanyak sembilan acara bakal dipertandingkan pada edisi kali ini, melibatkan bola sepak sembilan sebelah, bola jaring, bola tampar lelaki, dart berpasukan, tenpin bowling lelaki dan wanita, serta badminton kategori berpasukan lelaki, beregu wanita dan perseorangan wanita.

-- BERNAMA


 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan