EKONOMI

Sarawak Kaji Model Scotland-UK Untuk Rangka Mekanisme Agihan Hasil Karbon 

03/05/2025 11:02 AM

KUCHING, 3 Mei (Bernama) -- Kerajaan Sarawak sedang meneliti model hubungan antara Scotland dan United Kingdom (UK) sebagai rujukan dalam merangka mekanisme pengagihan hasil levi karbon serta kuasa pengawalseliaan antara kerajaan negeri dan Persekutuan.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata perkara itu penting bagi memastikan Sarawak memperoleh pulangan yang adil daripada sumber asli negeri, termasuk dalam sektor baharu seperti sistem pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS) yang dibangunkan di negeri itu.

"Persoalan utama ialah bagaimana levi karbon diagih antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri," katanya menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) di London pada Jumaat.

Beliau dipetik berkata demikian semasa sesi Fireside Chat: Sarawak's Global Vision: Sustainability, Innovation & Strategic Partnerships sempena Forum Sarawak Connect London 2025 yang dikendalikan Pengerusi Majlis Keusahawanan dan Pelaburan Komanwel UK Lord Jonathan Marland.

Menurut Abang Johari,  Sarawak kini berada di barisan hadapan dalam membangunkan industri karbon mampan menerusi pelaksanaan undang-undang pengurangan pelepasan gas rumah hijau yang pertama seumpamanya di Malaysia.

Beliau berkata Sarawak juga tidak mahu menjadi pengeksport bahan mentah semata-mata dalam menguruskan sumber aslinya dan sebaliknya mahu mewujudkan rantaian nilai lengkap daripada peringkat huluan hingga hiliran.

Bagi mencapai matlamat ini, katanya, Sarawak menjalinkan kerjasama dengan agensi antarabangsa dan pelabur yang memiliki kepakaran serta teknologi seperti dari Korea Selatan, Jepun dan China.

Selain itu, Sarawak juga terus meninjau potensi kerjasama dengan negara-negara Eropah bagi meluaskan rangkaian pelaburan yang seimbang di peringkat global.

"Kita ingin mengaktifkan dasar dan aktiviti ekonomi berasaskan kekuatan kita sendiri dan saya yakin pendekatan ini sedang membuahkan hasil,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan