EKONOMI

CIMB Bank Beli 16 Hartanah KWSP Pada Harga Tunai RM210 Juta

02/05/2025 09:26 PM

KUALA LUMPUR, 2 Mei (Bernama) -- CIMB Bank Bhd, anak syarikat milik penuh CIMB Group Holdings Bhd, akan membeli 16 hartanah daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pada harga tunai RM209.81 juta.

Dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini, CIMB Group berkata CIMB Bank telah memajak 24 hartanah daripada KWSP di bawah perjanjian pajakan bertarikh 30 Disember, 2009, yang akan tamat pada 30 Jun, 2025.

“Pada 30 April, 2025, CIMB Bank memeterai 16 perjanjian jual beli (SPA) untuk memperoleh 16 daripada 24 hartanah ini daripada KWSP, yang kini digunakan oleh CIMB Bank untuk perniagaan perbankannya.

"Dengan ini, CIMB Bank telah menamatkan perjanjian pajakan dengan KWSP," katanya.

CIMB Group berkata transaksi itu akan menyokong strategi CIMB Bank dan mencapai peningkatan keuntungan dan kerugian yang menggalakkan pada 2025.

Selain daripada transaksi berkenaan, CIMB Group berkata CIMB Bank juga bersetuju untuk membeli semula lapan hartanah yang tinggal pada harga yang telah ditetapkan berdasarkan penilaian yang diberikan oleh penilai bebas sekiranya KWSP tidak dapat menjual lapan hartanah itu kepada pihak ketiga.

“Obligasi untuk membeli semula hartanah yang tidak terjual oleh CIMB Bank adalah selaras dengan terma-terma perjanjian pajakan,” tambahnya.

Tanpa sebarang keadaan yang di luar jangka, transaksi itu akan diselesaikan di antara suku keempat 2025 dan suku pertama 2026.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan