EKONOMI

Maxis Perluas Rangkaian Gentian Optik Di Pulau Pinang, Sasar 100,000 Rumah Menjelang 2027

02/05/2025 04:22 PM

BATU KAWAN, 2 Mei (Bernama) -- Maxis, penyedia telekomunikasi bersepadu utama di Malaysia hari ini melancarkan secara rasmi pengembangan rangkaian gentian optik berskala besarnya di Pulau Pinang, yang disasar untuk menghubungkan lebih 100,000 rumah di seluruh negeri itu menjelang 2027.

Peluasan itu akan meliputi semua daerah di Pulau Pinang, dengan tumpuan utama di kawasan bandar dengan permintaan tinggi seperti Jelutong, George Town, Batu Maung, Bayan Lepas dan Bayan Baru, di samping lokasi utama di Seberang Perai.

Ketua Pegawai Eksekutif Maxis Goh Seow Eng berkata projek itu menyumbang kepada rangkaian gentian optik nasional syarikat, yang kini menjangkau kira-kira 23,000 kilometer.

Beliau berkata infrastruktur yang dipertingkatkan itu akan berskala kepada kelajuan sehingga 10 gigabit sesaat (Gbps).

.“Kami bekerjasama rapat dengan kerajaan negeri mengenai perancangan ini selama beberapa tahun dan kini kami teruja untuk memasuki fasa pelaksanaan.

"Pembinaan dijangka bermula pada suku ketiga tahun ini, sementara menunggu permit yang diperlukan daripada majlis bandaran tempatan," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Maxis Home Fiber di Pulau Pinang, di sini, hari ini, yang disempurnakan oleh Ketua Menteri Chow Kon Yeow.

Goh berkata Maxis menjangkakan pelancaran penuh gentian optik di seluruh Pulau Pinang akan mengambil masa antara 18 dan 36 bulan untuk disiapkan bagi memastikan rumah, perniagaan dan institusi di seluruh negeri mendapat manfaat daripada akses Internet berkelajuan tinggi yang mantap.

Menurutnya, pengembangan gentian optik Maxis di Pulau Pinang dapat dilaksanakan menerusi Garis Panduan Ketersambungan Last Mile yang diperkenalkan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang—inisiatif pertama seumpamanya di Malaysia.

“Inisiatif ini bukan sahaja menyokong matlamat transformasi digital negara tetapi juga meletakkan Pulau Pinang sebagai peneraju dalam kebolehcapaian Internet berkelajuan tinggi dan pembangunan infrastruktur pintar,” katanya. 

Sementara itu, Chow menerusi ucapannya berkata pengembangan rangkaian gentian optik Maxis di negeri ini membuktikan pentingnya sinergi dan kerjasama antara sektor awam serta swasta dalam memacu transformasi digital secara inklusif dan mampan. 

Beliau berkata dalam dunia yang semakin dipacu oleh teknologi dan ketersambungan digital, keperluan kepada infrastruktur komunikasi yang pantas, stabil dan meluas bukan lagi satu kemewahan tetapi satu keperluan asas.

Justeru, beliau berkata pelaburan Maxis dalam membina infrastruktur gentian optik itu merupakan satu contoh terbaik bagaimana sektor swasta dapat menyumbang secara langsung kepada pembangunan digital negeri. 

“Inisiatif ini secara tidak langsung dapat memperkukuhkan asas digital dan mempercepatkan kemajuan ke arah masyarakat celik teknologi. 

“Dengan menyediakan akses internet yang pantas, selamat dan boleh dipercayai, Maxis dapat membantu merapatkan jurang digital yang masih wujud dalam komuniti kita, seterusnya memperkasa rakyat untuk meneroka peluang dalam ekonomi masa depan iaitu sama ada dalam pendidikan, pekerjaan jarak jauh, keusahawanan digital disamping pembangunan inovatif,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan