KUALA LUMPUR, 30 April (Bernama) -- Komitmen terhadap kebenaran serta pemeliharaan fakta perlu menjadi pegangan teras bersama antara kerajaan dan media bagi memastikan sistem sosial masyarakat terus stabil terutama dalam konteks kepelbagaian budaya serta fahaman di Malaysia.
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata media dan kerajaan berada di landasan yang sama apabila kecurigaan awam terhadap mereka semakin meningkat sehingga media sosial menjadi pilihan awam sebagai rujukan utama dan bukan lagi media arus perdana.
“Rujukan utama hari ini adalah di platform media sosial ataupun apa yang disebutkan di peringkat awal dahulu oleh mantan Presiden Amerika Syarikat Barack Obama sebagai the social media noise.
“Perkara ini menjadi lebih ketara dan penting dalam detik serta waktu kritikal seperti krisis misalnya banjir, kebakaran paip gas, COVID-19 atau kejadian tanah runtuh pada tahun 2022 di Batang Kali.
“Saya bukan ingin berkata bahawa kerajaan dan media harus berada di dalam kapal yang sama. Komitmen saya terhadap the fourth estate adalah ketara dan saya tidak berkompromi langsung terhadap kepentingan itu,” katanya pada Majlis Apresiasi Aidilfitri Bersama Pengamal Media di sebuah hotel di sini malam ini.
Turut hadir Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Wong Chun Wai dan Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin.
Amirudin juga berkata individu yang lahir selepas tahun 1998 membesar bukan dalam komuniti tetapi di alam maya dan media sosial, yang mengalami ledakan pertama pada 2008 menerusi Twitter dan kemudian Facebook, telah menjadi opsyen baharu saluran maklumat serta mencabar media konvensional.
“Hari ini, dengan adanya platform seperti Instagram, YouTube dan TikTok, setiap individu telah menjadi penghasil maklumat.
“Sahih atau tidak belum tentu tetapi attention sells and negative attention sells positively. Perkara ini yang perlu kita sedar sebagai cabaran dan peluang untuk beradaptasi demi kelangsungan media sebagai The Fourth Estate serta kerajaan untuk mentadbir dengan stabil serta aman,” katanya.
Dalam konteks Selangor yang berdepan pelbagai ujian seperti banjir, ribut, tanah runtuh dan letupan saluran paip gas di Putra Heights, Amirudin berharap media dapat terus memainkan peranan penting sebagai penyampai fakta yang tepat kepada masyarakat.
Beliau turut merakamkan penghargaan atas kerjasama media untuk memajukan lagi Selangor sebagai negeri yang menjadi tunjang ekonomi negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial