AM

Kebakaran Putra Heights: Kerajaan Selangor Pastikan Proses Pemulihan Mangsa Telus, Selamat

30/04/2025 08:50 PM

SHAH ALAM, 30 April (Bernama) -- Kerajaan Negeri Selangor komited memastikan proses pemulihan mangsa insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya dilakukan secara telus, selamat dan penuh tanggungjawab.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata pihaknya turut meneliti aspek kesihatan mangsa yang masih menerima rawatan dan berkemungkinan memerlukan rawatan intensif seperti pembedahan atau cantuman kulit.

Bagi tujuan itu, Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar negeri Jamaliah Jamaluddin akan menyelaras bantuan kesihatan dengan hospital terbabit.

“Saya percaya melalui usaha bersepadu antara kerajaan negeri dan Persekutuan, mangsa dapat kembali membina kehidupan dengan lebih yakin dan bermaruah,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Pada 23 April lepas, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata seramai 18 mangsa insiden itu masih dirawat.

Dzulkefly berkata 150 mangsa yang cedera mendapatkan rawatan di hospital kerajaan dan swasta pada hari kejadian. 

Insiden kebakaran saluran paip gas Petronas pada 8.10 pagi 1 April menyebabkan api marak setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius dan mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan