JENAYAH & MAHKAMAH

Lelaki Nigeria Didakwa Gigit Telinga Anggota Polis Hingga Putus

30/04/2025 02:41 PM

KUALA LUMPUR, 30 April (Bernama) -- Seorang penuntut kolej swasta warga Nigeria mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang anggota polis hingga putus sebahagian telinga kiri selepas digigit, minggu lepas.

Okenyehike Kelvin Obianke, 38, didakwa melakukan perbuatan itu terhadap Koperal Danierul Azraq Ahmad Khair, 36, di hadapan sebuah klinik di Metro Prima, Kepong di sini pada 10.10 pagi 25 April.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nur Farhana Mohamad Poad tidak menawarkan sebarang jaminan kerana lelaki itu tidak mempunyai dokumen perjalanan manakala tertuduh juga tidak diwakili peguam.

Majistret S Mageswary tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 10 Jun untuk sebutan semula kes.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret berasingan, lelaki Nigeria itu mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan iaitu memasuki negara ini tanpa dokumen sah dan memberikan diri sendiri dadah.

Di hadapan Majistret Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim, Obianke didakwa memasuki Malaysia tanpa dokumen perjalanan yang sah di tempat, tarikh dan masa yang sama.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit  kesalahan.

Lelaki itu juga didakwa memasukkan dadah jenis Benzo (Nimetazepam) ke dalam badan sendiri di tandas Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul pada 3 pagi, 26 April lepas.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nurainizatul Farhana Zainal tidak menawarkan sebarang jaminan atas alasan sama dan mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin serta menetapkan 23 Julai ini untuk sebutan semula kedua-dua kes.

Jumaat lepas, media melaporkan seorang anggota polis putus sebahagian telinga kiri selepas digigit seorang lelaki warga Nigeria ketika cuba memasukkan suspek (tertuduh) ke dalam kereta peronda polis (MPV) di Metro Prima, Kepong.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa berkata dalam kejadian 10.03 pagi itu, mangsa yang merupakan anggota peronda (MPV) berpangkat koperal menerima panggilan kecemasan mengenai seorang lelaki warga asing yang membuat kacau di sebuah klinik.

“Siasatan mendapati suspek berusia 38 tahun itu membuat kacau di klinik berkenaan dan telah ditahan anggota Balai Polis Kepong. Mangsa diarahkan membantu membawa suspek balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul," katanya.

Semalam, media melaporkan Ketua Polis Daerah Sentul ACP Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata anggota terlibat masih menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

"Telinga yang putus tidak dapat disambung kerana berisiko dijangkiti jika terdapat kuman daripada badan suspek dan doktor akan melihat semula keadaan luka mangsa, jika tiada jangkitan kuman akan dilakukan proses pembedahan," katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan