KUALA LUMPUR, 30 April (Bernama) -- Bursa Malaysia dibuka tinggi hari ini berikutan kenaikan Wall Street dipacu oleh kemerosotan hasil Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) dan penurunan tarif oleh Rumah Putih termasuk penarikan semula tarif berkaitan kereta sebanyak 25 peratus.
Pada 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 4.30 mata kepada 1,519.86 daripada 1,515.56 ketika ditutup semalam.
Indeks penanda aras itu dibuka 2.51 mata lebih tinggi kepada 1,518.07.
Bagi keseluruhan pasaran, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 146 berbanding 93, dengan 200 kaunter tidak berubah, 1,980 kaunter tidak diniagakan dan 96 yang lain digantung.
Jumlah dagangan mencecah 65.22 juta saham bernilai RM26.55 juta.
Dilaporkan bahawa Setiausaha Perdagangan Amerika Syarikat (AS) Howard Lutnick berkata pentadbiran Presiden AS Donald Trump telah mencapai perjanjian perdagangan pertamanya bagaimanapun enggan menamakan negara tersebut.
Dalam pada itu, Malacca Securities Sdn Bhd berkata perjanjian perdagangan boleh memacu momentum trend menaik dalam pasaran selain keyakinan terhadap pendapatan saham bermodal besar akan datang.
"Memandangkan prestasi Wall Street yang positif, kami tetap optimis bahawa momentum belian mungkin berterusan walaupun kenaikan harga mungkin dihadkan disebabkan cuti umum Hari Pekerja," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Peniaga juga akan memantau keluaran suku pertama AS bagi hasil Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan data Indeks Pengurus Pembelian (IPP) bagi pembuatan China pada April.
Dalam kalangan kaunter berwajaran tinggi, Maybank menambah empat sen kepada RM9.99, Tenaga Nasional dan CIMB naik dua sen masing-masing kepada RM13.66 dan RM7.04 manakala Public Bank dan IHH Healthcare tidak berubah masing-masing pada RM4.43 dan RM6.87.
Bagi kaunter aktif, Velesto meningkat satu sen kepada 16 sen, Eden Inc meningkat 1.5 sen kepada 16.5 sen, Jaks Resources melonjak 0.5 sen kepada 9.5 sen manakala Ingenieur Gudang dan Jiankun International tidak berubah masing-masing pada 3.5 sen and tiga sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 30.95 mata kepada 11,305.36, Indeks FBMT 100 menambah 31.37 mata kepada 11,076.33, dan Indeks FBM Emas Shariah meningkat 28.72 mata kepada 11,146.45. Indeks FBM 70 mengukuh 45.47 mata kepada 15,950.46, bagaimanapun Indeks FBM ACE turun 0.05 mata kepada 4,618.05.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 43.71 mata kepada 18,143.82, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.09 mata kepada 149.01, Indeks Tenaga menokok 3.13 mata kepada 681.09 dan Indeks Perladangan meningkat 4.78 mata kepada 7,167.13.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial