EKONOMI

Industri OGSE Perlu Terima Pakai Teknologi, Digitalisasi Dan Sumber Tenaga Baharu

29/04/2025 07:58 PM

KUALA LUMPUR, 29 April (Bernama) -- Industri perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas (OGSE) perlu menerima pakai teknologi, digitalisasi serta sumber tenaga baharu seperti hidrogen dan pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS) walaupun berdepan cabaran dalam peralihan tenaga.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Petroleum Resources Corporation (MPRC) Mohd Yazid Ja’afar berkata ketidaktentuan ekonomi global, peralihan arah dasar antarabangsa dan gangguan teknologi sedang membentuk semula pasaran tenaga secara masa nyata.

“Ini termasuklah tarif baharu dari Amerika Syarikat (AS), khususnya ke atas produk-produk solar termasuk dari Malaysia (sebanyak 34 peratus), yang pastinya akan memberi kesan kepada pasaran tenaga boleh baharu global.

“Konflik geopolitik terus memberi kesan kepada harga minyak dan keselamatan tenaga global. Kejadian kebocoran gas di Putra Heights baru-baru ini turut menarik perhatian terhadap kepentingan memastikan keselamatan tenaga dalam menghadapi peralihan tenaga serta keperluan kritikal untuk sumber tenaga yang pelbagai dan mampu milik bagi menjamin bekalan tenaga kita kekal selamat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan alu-aluan di Forum Ketua Pegawai Eksekutif OGSE100 2025 di sini hari ini.

Selain itu, beliau berkata kemunculan ketidakseimbangan serantau dalam usaha ke arah kemampanan yang melibatkan Eropah dan Amerika Syarikat berbanding negara-negara lain mungkin menjejaskan kadar penerimaan kemampanan serta amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam industri.

Forum “Driving Sustainable Energy Innovation Globally” dianjurkan oleh MPRC dan kini memasuki edisi tahunan yang kedua.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan