KUALA LUMPUR, 29 April (Bernama) -- Fraser & Neave Holdings Bhd (F&N) bersedia memulakan operasi di kilangnya di Butterworth setelah dinaik taraf bagi mengurangkan kekangan kapasiti pengeluaran yang sedang dihadapi di kemudahan Shah Alam dan Bentong.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lim Yew Hoe berkata kilang di Butterworth, yang sebelum ini digunakan untuk pengeluaran botol kaca dan kemudiannya sebagai gudang serantau, telah diubah suai untuk menempatkan barisan pengeluaran baharu bagi minuman ringan berkarbonat (CSD) dan air minuman.
“Struktur bangunan sudah sedia ada, jadi kami hanya mengubah suai premis dan memasang mesin baharu, sekali gus membolehkan kami menjimatkan kos pembelian tanah dan pembinaan,” katanya dalam taklimat kewangan kumpulan bagi separuh pertama tahun kewangan berakhir 31 Mac, 2025 (1H TK2025).
Lim berkata syarikat juga sedang dalam proses mendapatkan pensijilan halal dan kelulusan lain yang diperlukan sebelum operasi dapat dimulakan.
“Apa yang menariknya kos permulaan yang rendah dan keupayaan untuk mengilang lebih dekat dengan pasaran utara. Jadi kami dapat menjimatkan kos pembinaan dan logistik secara ketara, memandangkan kos untuk mengangkut sekarton minuman CSD 1.5 liter seperti 100PLUS dari Shah Alam ke utara pada masa ini agak tinggi.
“Anda mungkin tertanya-tanya mengapa kami hanya melakukannya sekarang. Jawapannya ialah kilang-kilang sedia ada kami telah beroperasi pada kapasiti penuh. Shah Alam dan Bentong telah mencapai tahap maksimum, jadi sudah tiba masanya untuk berkembang dan memindahkan sebahagian pengeluaran ke utara, membolehkan operasi di wilayah tengah dan selatan menumpukan kepada kawasan masing-masing dan meningkatkan jualan,” katanya.
Lim menambah dengan kewujudan kilang baharu itu, F&N turut merancang untuk menghasilkan SKU (unit penyimpanan stok) bersaiz lebih kecil untuk air minuman, sekitar 200ml hingga 250ml memandangkan permintaan ke atas saiz pek yang lebih kecil semakin meningkat.
Mengulas mengenai projek F&N AgriValley di Gemas, Negeri Sembilan, beliau berkata syarikat itu merancang untuk mengembangkan operasi kepada 10,000 ekor lembu tenusu dalam fasa pertama, sebelum mencapai sasaran 20,000 ekor lembu pada fasa kedua bagi mencapai pulangan modal.
"Pelaburan kami sebanyak RM1.8 bilion ini mencerminkan strategi jangka panjang untuk mengurangkan kebergantungan kepada import tenusu dan mengukuhkan bekalan susu mentah tempatan.
"Daripada RM1.8 bilion itu, kira-kira RM600 juta telah dibelanjakan untuk pembinaan infrastruktur kemudahan, manakala kira-kira RM100 juta diperuntukkan untuk pembelian lembu," katanya.
Projek F&N AgriValley yang diumumkan pada 2023, memberi tumpuan kepada pembangunan kaedah pertanian mampan dan teknologi pengeluaran makanan untuk menambah baik pertanian tempatan dan sekuriti makanan.
Semalam, F&N melaporkan keuntungan bersih yang lebih rendah untuk suku kedua berakhir 31 Mac, 2025 kepada RM140.34 juta daripada RM165.41 juta pada suku yang sama tahun lepas.
Hasil juga turun sedikit sebanyak 1.4 peratus kepada RM1.33 bilion daripada RM1.35 bilion sebelumnya yang disebabkan oleh jualan di musim perayaan yang perlahan untuk segmen makanan dan minuman (F&B) di Malaysia, bencana banjir di Malaysia Timur dan jualan yang lebih rendah daripada segmen F&B di Indochina, menurut F&N.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial