KLANG, 29 April (Bernama) -- Central Spectrum (M) Sdn Bhd dengan kerjasama 15 rakan korporat, menyumbang RM212,000 untuk membantu mangsa tragedi kebakaran saluran gas di Putra Heights, Subang Jaya baru-baru ini sebagai sebahagian daripada komitmennya terhadap kesejahteraan masyarakat.
Ketua Pegawai Eksekutif Central Spectrum Mohd Zapi Abdullah berkata sumbangan berkenaan akan disalurkan terus kepada Tabung Selangor Prihatin untuk memberikan bantuan yang amat diperlukan penduduk dan keluarga terjejas.
"Sumbangan kolektif sebanyak RM212,000 adalah gambaran komitmen mendalam kami untuk bersama-sama masyarakat dalam menghadapi masa-masa sukar. Pada saat-saat seperti inilah perpaduan, belas kasihan dan tindakan pantas benar-benar memainkan peranan penting," katanya kepada Bernama semasa Rumah Terbuka Aidilfitri Central Spectrum di Galeri Jualannya di Pulau Indah di sini semalam.
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari turut hadir pada acara berkenaan bersama-sama ahli komuniti, rakan korporat dan tetamu kehormat.
Kebakaran pada 1 April itu mengakibatkan 81 rumah musnah sepenuhnya dengan kerosakan struktur lebih daripada 40 peratus, 81 rumah lagi separa musnah, 57 rumah terkesan tetapi tidak terbakar dan 218 rumah tidak terjejas, termasuk di Kampung Tengah, Puchong.
Seiring tradisi prihatin terhadap komuniti, Central Spectrum juga menyampaikan duit raya kepada pelajar Maahad Tahfiz Darul Furqon Pulau Indah untuk membawa kegembiraan perayaan dan mengukuhkan komitmennya dalam memupuk generasi masa depan.
Mohd Zapi turut mengumumkan projek pembangunan akan datang termasuk projek kediaman tepi laut di Laguna Park dan gerbang logistik di Precinct 1B, Pulau Indah.
"Projek-projek ini dijangka merangsang pertumbuhan dan inovasi di seluruh Pulau Indah dalam tempoh empat tahun akan datang. Dengan fokus yang teguh pada pemerkasaan komuniti, pembangunan mampan dan impak kemanusiaan, Central Spectrum terus membentuk masa depan dengan kejayaan perniagaan berjalan seiring dengan tanggungjawab sosial," katanya.
Central Spectrum, anak syarikat Menteri Besar Selangor Incorporated (MBI) adalah pemaju utama di sebalik projek-projek utama termasuk Taman Perindustrian Pulau Indah, Selangor Halal Hub dan Taman Perindustrian SBB, menjadikan Pulau Indah sebagai hab yang berkembang pesat untuk pertumbuhan industri, kediaman dan komersial.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial