AM

Kebakaran Putra Heights: KHSB Sumbang RM30,000 Bantu Penduduk Terjejas

29/04/2025 01:47 PM

SHAH ALAM, 29 April (Bernama) -- Kumpulan Hartanah Selangor Berhad (KHSB) telah menyalurkan sumbangan sebanyak RM30,000 kepada penduduk yang terjejas akibat insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya pada 1 April lepas.

Sumbangan oleh anak syarikat milik penuh kerajaan negeri di bawah Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI itu disampaikan melalui Tabung Selangor Prihatin oleh Ketua Pegawai Eksekutif KHSB Edi Zuhri Abd Rahim kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Datuk Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajudin, baru-baru ini. 

KHSB dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa sumbangan itu merupakan satu daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat dalam membantu masyarakat yang dilanda musibah.

Menurut kenyataan tersebut, inisiatif ini menzahirkan solidariti dan keprihatinan KHSB terhadap komuniti yang terjejas dan dapat meningkatkan kesedaran masyarakat umum terhadap peranan KHSB sebagai entiti yang aktif dalam melaksanakan inisiatif CSR. 

“KHSB amat memahami impak emosi, fizikal dan kewangan yang terpaksa ditanggung oleh mangsa dalam situasi kecemasan sebegini. 

“Oleh itu, KHSB berharap sumbangan ini dapat menjadi dorongan untuk para penduduk terus tabah dan bangkit menghadapi masa akan datang,” menurut kenyataan itu.

KHSB turut menzahirkan komitmen dalam menjalankan peranan sebagai rakan pembangunan negeri yang prihatin terhadap kebajikan rakyat Selangor, khususnya dalam mendepani cabaran di luar jangkaan.

Kebakaran pada 1 April itu mengakibatkan 81 rumah musnah sepenuhnya dengan kerosakan struktur melebihi 40 peratus, manakala 81 rumah lagi mengalami kerosakan separa, 57 rumah terkesan tanpa terbakar, dan 218 rumah tidak terjejas, termasuk di Kampung Tengah, Puchong.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan