AM

Wan Rosdy Terima Ijazah Kehormat PhD Dari Universiti Yarmouk

28/04/2025 11:29 PM

KUANTAN, 28 April (Bernama) --Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, hari ini dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Ekonomi Islam dan Perbankan oleh Universiti Yarmouk, Jordan.

Anugerah itu disampaikan oleh Presiden Universiti Yarmouk Profesor Dr Islam Massad, sebagai tanda penghargaan terhadap sumbangan beliau dalam mengukuhkan kerjasama antara kerajaan negeri Pahang dan institusi pendidikan berkenaan.

Wan Rosdy berkata kerjasama antara Pahang dan Universiti Yarmouk telah bermula sejak 2001 melalui Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kolej Yayasan Pahang (KYP) dan universiti berkenaan.

“Selepas 14 tahun, kerjasama ini diperkukuh lagi menerusi majlis menandatangani MoU Kursi Pahang yang berlangsung hari ini,” katanya dalam kenyataan di sini malam ini.

Setakat ini, seramai 363 anak Pahang telah menamatkan pengajian di universiti itu, manakala 78 lagi masih melanjutkan pengajian.

Wan Rosdy percaya hubungan akademik antara kedua-dua pihak boleh diperluas ke bidang penyelidikan bersama, inovasi ekonomi Islam, teknologi hijau dan pembangunan lestari.

“Saya berharap lebih ramai anak Pahang akan mengambil peluang untuk melanjutkan pengajian di Universiti Yarmouk dan menyumbang kembali kepada pembangunan serta kemajuan negeri dan negara,” katanya.

Beliau berkata kerjasama itu diharap dapat memperkukuh bidang penyelidikan dan pembangunan berteraskan nilai Islam dan prinsip Maqasid Syariah, sekali gus menjadikan Pahang sebagai sebuah negeri yang berjaya dan berdaya saing di peringkat nasional dan juga global.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan