EKONOMI

Penyiapan ECRL Tingkat Pembangunan Pantai Timur, Tarik Lebih Banyak Pelaburan Dari China

28/04/2025 03:34 PM

Daripada Kisho Kumari Sucedaram

BEIJING, 28 April (Bernama) -- Penyiapan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) menjelang akhir 2027 di bawah Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) dijangka membuka potensi pembangunan di pantai Timur Semenanjung yang turut menempatkan Taman Perindustrian Kuantan, Pahang.

Perkembangan itu juga dijangka menarik lebih banyak pelaburan dari China.

Presiden Kaukus Inisiatif Jalur dan Laluan untuk Asia Pasifik (BRICAP) Tan Sri Ong Tee Keat berkata projek ini dijangka meningkatkan hubungan logistik di antara pantai Barat dengan Timur Semenanjung.

Fasa 1 ECRL merentasi dari Kota Bharu di Kelantan ke Terminal Bersepadu Gombak di Selangor yang dijadualkan siap pada Disember 2026 dengan operasinya dijangka bermula pada Januari 2027.

Fasa 2 akan menghubungkan Gombak dengan Pelabuhan Klang dan dijangka siap pada Disember 2027 selain operasinya bermula pada Januari 2028.

Dalam satu temu bual bersama Global Times di sini, Ong berkata fasa baharu pembangunan BRI berkualiti tinggi akan memberi rangsangan baharu kepada projek "Dua Negara, Taman Berkembar" dengan kemasukan pemacu ekonomi baharu dalam peralihan digital dan hijau dari China.

“Kerjasama dalam teknologi boleh baharu dengan penyertaan Contemporary Amperex Technology Co. Ltd (CATL) dari China serta penempatan hab ASEAN Huawei di Malaysia merupakan petanda positif untuk memperkasa Malaysia dalam merealisasikan agenda pembangunan mampannya,” katanya.

Menurut Bank Dunia, pelaksanaan penuh projek yang dicadangkan di bawah BRI dianggarkan meningkatkan perdagangan antara 2.8 peratus hingga 9.7 peratus bagi ekonomi di sepanjang koridor tersebut.

Memasuki dekad kedua, Ong yang juga bekas Menteri Pengangkutan berkata BRI sedang menuju ke fasa baharu pembangunan berkualiti tinggi dengan keutamaan diberikan kepada peralihan hijau, inisiatif digital yang mampan serta projek 'kecil tetapi indah'.

BRI merupakan pembangunan infrastruktur global yang diterima pakai oleh China pada 2013 untuk melabur dalam laluan yang menghubungkan Asia, Eropah, Afrika, Oceania dan Amerika Latin.

Dalam perkembangan lain, Ong berkata ekonomi Selatan Global dan pasaran negara membangun semakin bersedia untuk menjadi pemacu alternatif bagi pertumbuhan global di tengah-tengah peningkatan fahaman perlindungan (proteksionisme), merangkumi lebih 50 peratus daripada pertumbuhan keluaran dalam negara kasar global.

“Negara-negara membangun ini termasuk ASEAN, BRICS dan ahli Kesatuan Afrika kini merupakan benteng multilateralism yang jarang ditemukan dalam memacu integrasi serantau untuk menentang pemecahan perdagangan,” tegasnya.

Dengan memanfaatkan ekonomi digital dan kepelbagaian rantaian bekalan dengan kerjasama Selatan-Selatan yang lebih rapat, Ong berkata dinamik berkembang ini dijangka membentuk semula susunan dunia  untuk menjadi model yang berbilang pusat.

Secara khusus, beliau berkata kerjasama ekonomi dan perdagangan China-ASEAN dijangka mencapai tahap yang lebih tinggi tahun ini dengan penutupan Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN (CAFTA) 3.0.

"Ekonomi digital, peralihan hijau dan e-dagang rentas sempadan akan menjadi inisiatif utama untuk memacu kerjasama sedemikian," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan