AM

Kelantan Bakal Terima Pakai Akta 672 - Exco

28/04/2025 06:59 PM

KOTA BHARU, 28 April (Bernama) -- Kerajaan Kelantan bakal menerima pakai Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) dengan sesi taklimat bersama Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) bagi memuktamadkan proses berkenaan telah dilakukan baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Kelantan Hilmi Abdullah berkata beberapa negeri seperti Selangor, Terengganu, Perak dan Pulau Pinang yang belum mengguna pakai akta itu juga sedang mengadakan rundingan semula dengan JPSPN bagi tujuan berkenaan.

“Kelantan juga tidak mahu ketinggalan, oleh itu kita membuka semula rundingan kerana kos pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam kini semakin meningkat,” katanya kepada Bernama di Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Pelancaran Lori Kompaktor Semar Emas Enterprise (SEE) Group di sini hari ini.

Hilmi berkata kerajaan negeri akan mengemukakan beberapa tawaran baharu dalam rundingan itu, termasuk melantik syarikat konsesi sendiri yang akan menguruskan sisa pepejal seperti yang dilakukan Selangor dan Pulau Pinang.

Beliau berkata langkah berkenaan bertujuan memastikan syarikat konsesi sedia ada dapat meneruskan khidmat mengikut perjanjian yang telah dimeterai dengan kerajaan negeri sebelum ini.

“Sebagai tindakan susulan, kita akan membawa semua pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) untuk menghadiri taklimat khas di Putrajaya dalam masa terdekat,” katanya.

Hilmi berkata Kelantan tidak menerima pakai akta berkenaan sebelum ini disebabkan beberapa klausa yang ditetapkan termasuk keperluan menyerahkan kuasa eksekutif pembersihan awam dan pengurusan sisa pepejal kepada kerajaan Persekutuan.

Sementara itu, Hilmi berkata penguatkuasaan denda RM2,000 terhadap individu yang membuang sampah di luar tong berjaya mendisiplinkan rakyat negeri ini dengan tiada sebarang laporan saman baharu dikeluarkan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan