KUALA LUMPUR, 28 April (Bernama) -- Terma Perdagangan Malaysia naik 1.2 peratus bulan ke bulan kepada 119.5 mata pada Mac 2025, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata pengembangan perdagangan ini didorong oleh peningkatan indeks minyak galian (+2.0 peratus), alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (+1.3 peratus) dan makanan (+1.0 peratus).
“Sementara itu, terma perdagangan Malaysia tahun ke tahun menokok 3.8 peratus daripada 115.2 mata pada Mac tahun lepas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Uzir berkata harga eksport Malaysia pada Mac 2025 meningkat 0.2 peratus kepada 151.8 mata daripada 151.4 mata pada bulan sebelumnya.
“Indeks nilai seunit eksport meningkat 0.2 peratus pada Mac 2025 berbanding bulan sebelumnya, disumbangkan oleh peningkatan indeks makanan (+1.1 peratus), bahan mentah tidak boleh dimakan (+0.9 peratus) dan alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (+0.8 peratus),” katanya.
Beliau berkata indeks volum eksport naik 15.9 peratus selaras dengan kenaikan indeks alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (+28.8 peratus), barang-barang keluaran kilang (+15.2 peratus) dan pelbagai barang keluaran kilang (+7.1 peratus).
Menurutnya indeks volum eksport pelarasan bermusim turun 1.0 peratus daripada 162.8 mata kepada 161.2 mata.
“Merujuk kepada perbandingan tahunan, indeks nilai seunit dan indeks volum masing-masing bertambah 1.3 peratus dan 5.4 peratus,” katanya.
Mohd Uzir berkata indeks nilai seunit import mencatatkan penurunan 0.9 peratus daripada 128.1 mata kepada 127.0 mata.
“Indeks minyak galian (-2.7 peratus), alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (-0.5 peratus) dan bahan kimia (-0.4 peratus) menyumbang penyusutan 0.9 peratus dalam indeks nilai seunit import pada Mac 2025.
“Bagaimanapun, indeks volum import bertambah 7.6 peratus pada Mac 2025 berbanding bulan sebelumnya, disumbangkan oleh peningkatan dalam indeks bahan kimia (+17.0 peratus), pelbagai barang keluaran kilang (+10.0 peratus) dan alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (+8.6 peratus),” katanya.
Beliau berkata indeks volum import pelarasan bermusim merosot 7.3 peratus daripada 208.7 mata kepada 193.4 mata.
“Perbandingan tahun ke tahun menunjukkan indeks nilai seunit import dan indeks volum masing-masing berkurang 2.4 peratus dan 0.5 peratus,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial