POLITIK

Kemenangan PRK DUN Ayer Kuning Bukti Formula Kerajaan Perpaduan Berjaya Menambat Hati Rakyat

27/04/2025 02:28 PM

SANDAKAN, 27 April (Bernama) -- Kemenangan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning membuktikan bahawa formula Kerajaan MADANI berjaya menambat dan memenangi hati rakyat.

Jurucakap Kerajaan MADANI Datuk Fahmi Fadzil yang juga Menteri Komunikasi berkata jumlah majoriti dimenangi calon Barisan Nasional (BN) Dr Mohamad Yusri Bakir juga meningkat, sementara undi yang diterima oleh lawannya dari Perikatan Nasional (PN), merosot.

"Daripada 20 pusat daerah mengundi, sebanyak 19 telah dimenangi oleh Kerajaan MADANI. Ini satu petanda positif, namun kita tidak boleh leka... banyak yang perlu kita usahakan untuk memastikan kemenangan ini dapat diperkukuhkan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Hari Bersama Komuniti (HBK) di NADI Sim Sim, di sini hari ini.

Turut hadir, Ahli Parlimen Sandakan Vivian Wong Shir Yee, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Papat Datuk Frankie Poon, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, Anggota Suruhanjaya bagi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Jen (B) Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin dan Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Arul Rajoo Durar Raj.

Dalam pada itu, beliau berkata kaedah kempen sihat yang digunakan menjadi faktor pengundi di Ayer Kuning memilih Kerajaan MADANI dan menolak pihak lawan yang memilih topik yang tidak relevan dengan penduduk setempat.

Fahmi berkata rakyat juga menolak kempen yang bersifat perkauman yang memecahbelahkan.

"Kita lihat, senang cakap, ini adalah penolakan terhadap politik berbaur perkauman. Rakyat Malaysia akan menolak perkara seperti ini, khususnya di Ayer Kuning. Mereka tidak boleh menerima dan mereka memilih perpaduan, serta menentang perpecahan," katanya.

Mohamad Yusri, yang juga merupakan Setiausaha UMNO Bahagian Tapah, memenangi PRK DUN Ayer Kuning dengan majoriti 5,006 undi setelah meraih 11,065 undi, menewaskan Abd Muhaimin Malek daripada PN (6,059 undi) dan calon Parti Sosialis Malaysia, Bawani KS (1,106 undi).

Keputusan tersebut mengekalkan DUN Ayer Kuning sebagai kubu kuat BN yang telah dikuasai parti itu sejak 1986.

PRK tersebut diadakan berikutan kematian penyandangnya Ishsam Shahruddin, 58, pada 22 Feb lepas

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan