AM

Jemaah Haji Perlu Sedia Hadapi Cuaca Panas Ketika Berada Di Madinah

26/04/2025 08:59 PM

Daripada Nurliyana Farhah Ruslan

MADINAH, 26 April (Bernama) -- Jemaah haji diingatkan untuk bersedia menghadapi cuaca panas yang boleh mencecah hingga 45 darjah Celsius ketika berada di kota suci Madinah.

Pengarah Operasi Tabung Haji Madinah Affandi Abdullah turut mengingatkan jemaah haji Malaysia musim 1446H/2025M untuk menjaga kesihatan dan meminum air secukupnya bagi mengelakkan dehidrasi.

“Tahun ini keadaan cuaca panas dan kering, suhu biasanya jangkaan boleh mencecah melebihi 45 darjah Celsius dan setakat ini, suhu di Madinah baru mencecah 41 darjah Celsius. Kalau masuk bulan Mei, cuaca dijangka lebih panas.

“Sebelum ini, suhu pernah cecah hingga 49 darjah Celsius. Jadi, jemaah dinasihatkan untuk bersiap sedia daripada segi mental dan fizikal dengan keadaan cuaca terkini ketika menunaikan ibadah,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

 Affandi turut menasihati jemaah haji supaya mematuhi peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa Arab Saudi dan Tabung Haji termasuk ketika berada di bangunan penginapan sepanjang berada di Tanah Suci.

Beliau berkata musim haji tahun ini melibatkan dua fasa kemasukan ke Madinah dengan 45 peratus daripada keseluruhan 31,600 jemaah akan masuk terlebih dahulu ke kota suci berkenaan manakala pada fasa kedua, jemaah akan memasuki Madinah dari Mekah selepas wukuf.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan