AM

Tabung Haji Siap Sedia Terima Kumpulan Pertama Jemaah Di Madinah

26/04/2025 06:22 PM

Daripada Nurliyana Farhah Ruslan

MADINAH, 26 April (Bernama) -- Pasukan petugas Tabung Haji (TH) di Madinah bersiap sedia untuk menyambut ketibaan kumpulan pertama jemaah haji Malaysia bagi musim 1446H/2025M yang dijadualkan tiba di sini pada 29 April.

Pengarah Operasi Madinah merangkap Naib Konsul Haji Malaysia Affandi Abdullah berkata TH akan menempatkan petugas di setiap zon melibatkan petugas kewangan, kaunseling, kesihatan dan khidmat pelanggan termasuk membuka klinik kesihatan di Ibu Pejabat TH yang terletak di Roha Al Madinah bagi melancarkan urusan ketibaan jemaah berkenaan.

“Kita lihat ini sebagai operasi tahunan dan lebih 50 peratus petugas TH adalah berpengalaman. Jadi, semua sudah siap siaga untuk menerima kehadiran bakal haji pertama pada tahun ini,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata ketika ini TH masih menanti ketibaan kira-kira 70 petugas haji di Madinah dari Malaysia termasuk petugas kesihatan bagi melancarkan operasi haji musim ini.

“Walaupun macam-macam rintangan yang kita hadapi untuk persediaan pada saat akhir, namun kita bersiap sedia untuk menyantuni Duyufurrahman dan dari segi persiapan, alhamdulillah semua berjalan lancar,” katanya.

Beliau berkata daripada jumlah keseluruhan 632 petugas TH musim ini, 122 orang akan bertugas menguruskan jemaah haji di Madinah.

Sementara itu, Affandi berkata jemaah haji Malaysia akan tiba ke Madinah secara berperingkat dengan kumpulan pertama pada pukul 7.50 pagi (waktu tempatan) di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohamad bin Abdulaziz, Madinah menerusi pesawat Malaysia Airlines Bhd.

“Jemaah-jemaah ini dijangka berada selama enam hari lima malam di Madinah dan sepanjang berada di sini mereka akan dibawa untuk program ziarah, selain diberi kelas serta taklimat sebelum mereka bergerak ke Mekah pada hari ketujuh,” katanya.

Bagi musim haji kali ini, beliau berkata TH menyediakan tiga bangunan penginapan jemaah haji di Madinah iaitu di Anwar Al Madinah Movenpick, Saja Al Madinah dan Emaar Royal Hotel Madinah.

“Bagi kumpulan pertama, mereka akan ditempatkan di Emaar Royal Hotel Madinah dengan jarak 300 meter dari Masjid Nabawi yang mampu menempatkan sehingga 1,800 jemaah pada waktu puncak,” katanya.

Affandi berkata TH turut menyediakan kemudahan kaunter pendaftaran kad sim prabayar STC, sebuah syarikat pengendali telekomunikasi di Arab Saudi.

Penerbangan pertama jemaah haji Malaysia ke tanah suci dijadualkan bermula pada 29 April ini, manakala penerbangan terakhir adalah pada 1 Jun depan, dengan hari wukuf iaitu 9 Zulhijjah dijangka pada Khamis, 5 Jun ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan