SIBU, 25 April (Bernama) -- Sibu International Powerboat Race perlu dipromosikan lebih meluas sebagai satu pertandingan bertaraf antarabangsa supaya dapat menarik penyertaan lebih ramai pelumba dari luar negara, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing.
Beliau berkata perlumbaan itu dilihat berpotensi besar untuk memperkukuh sektor pelancongan Sarawak, khususnya di Sibu.
“Satu program yang sangat baik, ia mampu memberi impak besar kepada industri pelancongan tempatan jika diperluas dengan penganjuran berskala antarabangsa,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Sibu International Powerboat Race 2025 di sini hari ini.
Beliau berkata kerjasama erat daripada semua pihak amat diperlukan, khususnya dalam aspek pembiayaan dan penyediaan hadiah wang tunai yang lebih lumayan untuk menarik minat pelumba antarabangsa.
“Semua pihak perlu berganding bahu mempromosikan perlumbaan ini bukan sahaja di peringkat tempatan tetapi juga antarabangsa. Kementerian saya bersedia membantu dari segi promosi dan penganjuran,” katanya.
Perlumbaan terbabit melibatkan pelbagai kategori bot termasuk Formula Tiga dan Empat, dengan penyertaan dari seluruh Sarawak dan Brunei.
Mengulas kemungkinan penganjuran perlumbaan bot laju Formula Satu, Tiong menyifatkan cadangan itu sebagai langkah baik untuk memberi peluang kepada rakyat tempatan mendalami aspek penganjuran serta merasai pengalaman dalam sukan bertaraf dunia.
“Jika ada mana-mana pihak yang berminat, kita alu-alukan untuk berbincang dengan Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak dan seterusnya membawa cadangan ini ke peringkat Kerajaan Persekutuan,” katanya.
Beliau turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM200,000 daripada kementeriannya bagi penganjuran kejohanan sukan air berprestij itu.
Tiong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Dudong menyasarkan kehadiran antara 10,000 hingga 20,000 penonton sepanjang tiga hari perlumbaan, dengan lebih 3,000 pengunjung dicatatkan pada hari pertama kejohanan hari ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial