KUALA LUMPUR, 25 April (Bernama) -- Desaru Coast secara rasmi memeterai kerjasama dengan ONE°15 Marina, anak syarikat SUTL Enterprise (SUTL) iaitu sebuah syarikat yang terkenal sebagai pemaju, pengendali, dan perunding utama marina bersepadu.
Kerjasama itu bertujuan untuk meningkatkan daya tarikan pelancongan Desaru Coast dengan mengoptimumkan kemudahan infrastruktur utamanya, termasuk terminal feri.
Pengarah Perkhidmatan Perniagaan Destination Resorts and Hotels Sdn Bhd, syarikat induk kepada Desaru Ferry Sdn Bhd iaitu pemilik dan pengendali Terminal Feri Desaru Coast, Karina Ridzuan berkata kerjasama ini mencerminkan kerjasama dua hala yang kukuh antara Singapura dan Johor, terutama dengan bakal wujudnya Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura, selain menunjukkan keyakinan pelabur terhadap Desaru Coast.
“Sebagai destinasi pesisir pantai utama di Johor, kami amat gembira dapat bekerjasama dengan ONE°15 Marina bagi memperkenalkan kemudahan marina terbaik dan pengalaman pelayaran terkurasi di Terminal Feri Desaru Coast.
“ONE°15 Marina Desaru Coast Malaysia mampu merangsang ekonomi marin dan riadah dengan meletakkan destinasi kami di peta pelayaran global, mengalu-alukan kedatangan komuniti pemilik kapal layar, ahli kelab antarabangsa dan penggemar bot berpengalaman yang mencari destinasi baharu dan dinamik.
“Kerjasama ini bakal menyaksikan ONE°15 Marina Desaru Coast mengendalikan dermaga basah dan kering di Terminal Feri Desaru Coast serta memberikan pengalamaan pelayaran terbaik kepada tetamu yang datang ke destinasi ini,” katanya dalam kenyataan.
Pengumuman itu dibuat di reruai Desaru Coast semasa Singapore Yachting Festival (SYF) 2025 di Singapura baru-baru ini.
Karina berkata dengan akses maritim yang lancar dan tarikan pengalaman baharu, Desaru Coast berhasrat mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi gaya hidup yang dinamik untuk pelancong serta komuniti pelayar di rantau ini.
Sempena SYF, Desaru Coast turut mengambil peluang memperkenalkan Festival Ombak 2025, acara kebudayaan dan gaya hidup utama Desaru Coast, yang dijadualkan berlangsung September ini.
“Kami teruja mengalu-alukan kedatangan komuniti kapal layar untuk sama-sama memeriahkan Festival Ombak tahun ini dan pengunjung festival ini akan menjadi antara kumpulan pertama yang merasai pengalaman menggunakan ONE°15 Marina yang baru dilancarkan di Desaru Coast,” kata Karina.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif yang juga Ketua Pegawai Eksekutif SUTL Enterprise Arthur Tay turut menyambut baik kerjasama tersebut.
“Kami sangat teruja untuk bekerjasama dengan Desaru Coast, mereka menyambut kemunculan marina baru (ONE°15 Marina) sebagai sebahagian daripada rangkaian marina ONE°15 yang semakin berkembang di seluruh Asia. Visi saya adalah untuk memberikan pengalaman unik yang dapat memperkasakan komuniti marin termasuk ahli kelab, penggemar bot, dan peminat kapal layar di seluruh Asia,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial