EKONOMI

Bursa Malaysia Ditutup Tertinggi Intra Hari, Lepasi Paras Utama 1,500

23/04/2025 07:28 PM

Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad

KUALA LUMPUR, 23 April (Bernama) -- Bursa Malaysia pulih daripada prestasi lemah semalam untuk ditutup pada paras tertinggi intra harinya, hari ini, didorong oleh pemburuan saham berharga rendah, terutamanya dalam teknologi, tenaga, pembinaan dan saham pengguna.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 14.94 mata atau 1.01 peratus kepada 1,501.19 daripada 1,486.25 ketika ditutup pada Selasa.

Indeks penanda aras itu dibuka 11.11 mata lebih tinggi pada 1,497.36 dan mencecah paras terendah 1,493.26 pada sesi tengah hari sebelum berterusan naik hingga menjelang penutupan. 

Keseluruhan pasaran adalah positif, dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 717 berbanding 264, manakala 403 kaunter tidak berubah,  1,021 tidak diniagakan dan 11 digantung.

Jumlah dagangan merosot kepada 2.99 bilion unit bernilai RM2.08 bilion berbanding 3.43 bilion unit bernilai RM1.66 bilion pada Selasa.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata indeks utama serantau juga berada dalam wilayah positif apabila keyakinan pasaran kembali pulih selepas Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump membatalkan hasrat untuk memecat Pengerusi Rizab Persekutuan Jerome Powell dan bercadang untuk cuba berlembut dalam isu tarif dengan mengenakan kadar yang lebih rendah terhadap China.

“Sambil menyatakan minat dalam perjanjian perdagangan dengan China dan kemungkinan mengecilkan kadar tarif kepada 145 peratus, Trump bagaimanapun memberi amaran akan mengenakan terma itu secara unilateral jika Beijing mengelak daripada berunding.

"Perkembangan ini memberi manfaat kepada pasaran domestik dengan menawarkan jaminan kepada pelabur," katanya kepada Bernama.

Thong percaya ini akan membantu menstabilkan sentimen, dengan indeks penanda aras berkemungkinan kekal dalam julat 1,490-1,510 minggu ini.

 Sementara itu, Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata FBM KLCI ditutup lebih tinggi hari ini, melepasi ambang psikologi 1,500, menunjukkan daya tahan sentimen pasaran domestik.

"Peningkatan hari ini didorong oleh pemulihan sederhana keyakinan para pelabur, susulan pendirian langkah berlembut Trump terhadap tarif China dan jaminannya untuk tidak memecat Powell.

"Peralihan ini memupuk persekitaran berisiko yang sederhana, kerana pasaran ketika ini berwaspada menerima berita ketegangan perdagangan AS-China yang mereda yang disokong oleh kenyataan daripada Setiausaha Perbendaharaan Scott Bessent," katanya.

Beliau berkata Bessent, pada sidang kemuncak pelabur di Washington semalam, menyatakan keyakinan bahawa AS dan China bersedia untuk mengendurkan ketegangan perdagangan mereka dalam masa terdekat, sekali gus memberikan jaminan di tengah-tengah ketidakpastian geopolitik yang berlarutan.

Melihat ke hadapan, Mohd Sedek berkata Khamis dan Jumaat ini adalah dua hari yang penting bagi indeks.

"Jika FBM KLCI mengekalkan kedudukannya melebihi paras 1,500 dan menguji paras 1,515 menjelang akhir minggu, ia boleh menetapkan momentum yang mampan dan berpotensi mencergaskan semula minat institusi asing dalam pasaran tempatan," katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Public Bank meningkat 3.0 sen kepada RM4.40, Tenaga Nasional dan CIMB masing-masing meningkat 10 sen kepada RM13.50 dan RM6.85, IHH Healthcare menambah 2.0 sen kepada RM6.86, manakala Maybank tidak berubah pada RM9.95.

Bagi saham aktif, Richtech Digital naik 8.5 sen kepada 27 sen, Pertama Digital menokok 1.0 sen kepada 13.5 sen, Nationgate naik 5.0 sen kepada RM1.21, manakala My E.G. Services dan Tanco masing-masing tidak berubah pada 89 sen dan 84.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 122.58 mata kepada 11,121.60, Indeks FBMT 100 naik 115.80 mata kepada 10,902.76, Indeks FBM Emas Shariah melonjak 148.20 mata kepada 10,946.64, Indeks FBM 70 melonjak 194.49 kepada 15,550.88 dan Indeks ACE FBM meningkat 41.59 mata kepada 4,602.69.

Dari segi sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 88.26 mata kepada 17,938.21, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 2.73 mata kepada 145.19, Indeks Tenaga menokok 7.30 mata kepada 661.73, bagaimanapun, Indeks Perladangan susut 1.83 mata kepada 7,214.49. 

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 1.37 bilion unit bernilai RM1.83 bilion berbanding 1.25 bilion unit bernilai RM1.37 bilion semalam.

Jumlah dagangan waran berkurangan kepada 1.19 bilion unit bernilai RM117.86 juta daripada 1.90 bilion unit bernilai RM194.42 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran ACE mengukuh kepada 427.40 juta unit bernilai RM130.50 juta berbanding 274.01 juta unit bernilai RM97.09 juta pada Selasa.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 208.48 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (225.02 juta), pembinaan (104.12 juta), teknologi (268.28 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (102.97 juta), hartanah (154.37 juta), perladangan (15.04 juta) REIT (10.77 juta), dana tertutup (1,100), tenaga (117.78 juta), penjagaan kesihatan (49.70 juta), telekomunikasi dan media (47.38 juta), pengangkutan dan logistik (26.60 juta), utiliti (38.18 juta), dan amanah perniagaan (6,600).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan