AM

Malaysia Dan Jepun Jalin Kerjasama, Pacu Industri Kreatif Rantau ASEAN

23/04/2025 10:27 PM

KUALA LUMPUR, 23 April (Bernama) -- Majlis Rekabentuk Malaysia (MRM) memeterai kerjasama tiga hala penting dengan ASEAN-Japan Centre (AJC) dan Japan Institute of Design Promotion (JDP) bagi membuka laluan kepada usaha memperkasakan kecemerlangan reka bentuk di Malaysia, Jepun dan seluruh rantau ASEAN.

MRM dalam kenyataan memaklumkan pemeteraian melalui surat hasrat (LOI) di ASEAN Hall, Tokyo itu ditandatangani Pengarahnya Amirul Fadhli Che Ismail, Setiausaha Agung AJC Dr Kunihiko Chris Hirabayash serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif JDP Hiroyuki Fukano.

 Amirul Fadhli berkata permeteraian itu menyediakan kerangka kukuh untuk usaha bersama dalam pendidikan reka bentuk, inovasi dan penganjuran pameran, menyemarakkan pertukaran kreatif serta peluang ekonomi. 

“Hal ini sebagai langkah penting meningkatkan penyertaan Malaysia dalam inisiatif reka bentuk serantau serta memperkukuh hubungan dalam kalangan komuniti reka bentuk ASEAN dan Jepun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam kenyataan sama, MRM memaklumkan pihaknya turut menjemput secara rasmi AJC dan JDP untuk menjadi rakan strategik kepada KL Design Summit 2025 – Edisi ASEAN, yang akan berlangsung pada Disember depan di sini.

Sidang kemuncak yang disokong oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri itu dijangka menjadi acara reka bentuk terbesar di rantau ini, menumpukan kepada Reka Bentuk Industri, Fesyen dan Multimedia.

“Inisiatif ini juga merupakan antara usaha MRM dalam menyokong Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia bagi 2025, dengan menonjolkan peranan reka bentuk sebagai pemacu kerjasama dan inovasi serantau,” menurut kenyataan itu. 

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan