AM

Talentbank Umum Senarai Universiti Pilihan Majikan 2025

23/04/2025 01:42 PM

KUALA LUMPUR, 23 April (Bernama) -- Peneraju utama dalam bidang kebolehpasaran siswazah di Malaysia, Talentbank, mengumumkan senarai yang dinanti-nantikan iaitu Senarai Universiti Pilihan Majikan 2025, menampilkan lulusan universiti yang paling mendapat permintaan tinggi majikan di seluruh negara.

Majlis pelancaran pengumuman itu diadakan di sebuah hotel di sini baru-baru ini, dan disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mustapha Sakmud.

Berbeza dengan penarafan akademik tradisional, senarai pilihan majikan itu ditentukan sepenuhnya oleh data pengambilan pekerja sebenar yang diperoleh daripada syarikat utama di Malaysia.

Antaranya, termasuk Maybank, CelcomDigi, CIMB, Nestle, Hartalega, PwC Malaysia, PETRONAS, Public Bank, Sunway, Standard Chartered Bank, BDO, DKSH Malaysia, AIA Berhad, Telekom Malaysia, Generali Insurance Malaysia, Western Digital dan lain-lain.

Maklumat berkenaan diperoleh daripada Indeks Kebolehpasaran Siswazah Kebangsaan Talentbank,  menggunakan metodologi tiga peringkat iaitu mengenal pasti universiti yang menjadi sasaran majikan, mengukur jumlah pengambilan dan mengenal pasti pengambilan semula berdasarkan prestasi lulusan. 

" Indeks Kebolehpasaran Siswazah Kebangsaan Talentbank dapat membantu lepasan sekolah memilih universiti terkenal menghasilkan siswazah yang mempunyai kebolehpasaran yang tinggi. Ini dapat meningkatkan peluang mereka untuk mendapatkan pekerjaan selepas tamat pengajian," menurut kenyataan Talentbank. 

Antara universiti awam yang menjadi pilihan utama majikan, termasuk Universiti Malaya, Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Sains Malaysia, Universiti Teknologi MARA dan Universiti Kebangsaan Malaysia.

Majikan turut memilih institusi swasta seperti Heriot-Watt University Malaysia, Asia Pacific University of Technology & Innovation, IMU University, dan Universiti Teknologi Petronas, menghasilkan siswazah yang memenuhi keperluan industri.

Universiti-universiti ini secara konsisten diiktiraf kerana melengkapkan pelajar dengan kemahiran dan kecekapan yang diperlukan untuk cemerlang dalam pelbagai sektor.

Mengulas mengenai pengiktirafan ini, Ketua Pegawai Eksekutif Talentbank Ben Ho berkata adalah amat membanggakan melihat pencapaian luar biasa universiti awam dan swasta dalam melahirkan siswazah yang memenuhi keperluan pasaran kerja.

Sebagai sebahagian sambutan ulang tahun ke-15, Talentbank turut melancarkan Career Playbook, panduan untuk lepasan sekolah, pelajar universiti dan siswazah muda.

Career Playbook menyediakan panduan strategik bagaimana untuk memilih universiti yang tepat, mengenal pasti industri berpotensi, membangunkan kemahiran kebolehpasaran dan menguasai proses permohonan kerja.

"Selama 15 tahun, Talentbank telah berdedikasi dalam meningkatkan kebolehpasaran lulusan universiti di seluruh Malaysia," kata Ho. 

"Menerusi inisiatif seperti Senarai Universiti Pilihan Majikan dan pelancaran Career Playbook, kami terus komited untuk membimbing pelajar dan keluarga dalam membuat keputusan pendidikan dan kerjaya  sekali gus memperkasakan mereka untuk memasuki pasaran kerja yang kompetitif dengan yakin.

"Kami melabur dalam penyelidikan untuk mengenal pasti universiti pilihan majikan dalam mengambil pekerja. Saya berharap lepasan sekolah dan ibu bapa dapat memanfaatkan panduan itu untuk memilih universiti yang mampu membantu mendapatkan pekerjaan dengan cepat," katanya.

Senarai penuh Universiti Pilihan Majikan 2025 boleh didapati di www.talentbankgroup.com. Untuk menyertai senarai menunggu Career Playbook, layari www.careerplaybook.io.

Universiti Sunway mengekalkan kedudukan sebagai institusi utama di Malaysia untuk kebolehpasaran siswazah selama empat tahun berturut-turut, mengukuhkan reputasinya dalam menghasilkan lulusan universiti yang diperlukan. 

Universiti berkenaan cemerlang dalam bidang seperti perniagaan, perakaunan, sains komputer, hospitaliti, seni kulinari, komunikasi dan psikologi, menetapkan standard tinggi yang bagi pendidikan berkualiti dalam sektor pendidikan tinggi swasta.

Sementara itu, Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) juga menerima pengiktirafan daripada majikan kerana konsisten menghasilkan lulusan cemerlang dalam bidang kejuruteraan, perakaunan, kewangan, sistem maklumat dan sains aktuari.

Dengan program akademik yang kukuh, UTAR mengukuhkan kedudukannya sebagai satu daripada universiti swasta terkemuka di Malaysia.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan