KUALA LUMPUR, 21 April (Bernama) -- Kerja-kerja pembinaan projek pembangunan bercampur J. Satine di Wangsa Maju di sini yang sebelum ini diberhentikan berikutan insiden keretakan pada Blok C, dibenarkan untuk diteruskan bagi blok SOHO serta Blok A dan B.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam kenyataan memaklumkan keputusan itu hasil Laporan Kemajuan Perunding Bebas bertarikh 24 Feb lepas yang disediakan oleh jurutera profesional bertauliah.
Bagaimanapun Blok C dan D perlu menjalani kerja pembaikan struktur yang rosak dan pengukuhan asas atau tapak terlebih dahulu sebelum kerja-kerja pembinaan dapat diteruskan.
“Cadangan ini telah disokong oleh jurutera bebas dan mendapat perakuan keselamatan dan kestabilan bangunan oleh jurutera-jurutera yang terlibat dalam reka bentuk struktur Pembangunan J. Satine,” menurut kenyataan itu hari ini.
DBKL juga telah menetapkan bahawa pihak perunding jurutera projek perlu mengemukakan Laporan Kemajuan Bulanan dan Laporan Penyiapan Kerja Pembaikan yang telah disemak dan disahkan oleh perunding bebas kepada DBKL pada setiap hujung bulan.
Selain itu, pihak pemaju iaitu Jayyid Land Sdn Bhd diarahkan mengadakan sesi libat urus bersama pembeli unit J. Satine serta agensi berkaitan termasuk Pejabat Ahli Parlimen Wangsa Maju, Jabatan Wilayah Persekutuan dan Jabatan Perumahan Negara dalam tempoh dua minggu dari tarikh Surat Tarik Balik Notis Berhenti Kerja dikeluarkan.
“DBKL komited untuk memastikan segala tindakan yang diambil dalam isu pembangunan J. Satine ini adalah berteraskan kepada prinsip akauntabiliti, keselamatan, ketelusan dan integriti.
“Selain itu, DBKL juga akan terus memastikan pemantauan rapi terhadap pelaksanaan pembaikan serta kemajuan projek ini dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab demi kepentingan semua pihak,” menurut kenyataan itu.
Sebelum ini DBKL mengeluarkan arahan henti kerja terhadap sebuah tapak pembinaan di Wangsa Maju susulan insiden keretakan struktur bangunan pada Blok C, Pembangunan J. Satine.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial