AM

85 Peratus Veteran ATM Bawah 60 Tahun Punya Kerjaya Kedua - Adly

21/04/2025 07:18 PM

SABAK BERNAM, 21 April (Bernama) -- Sebanyak 85 peratus daripada veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berumur bawah 60 tahun mempunyai kerjaya kedua selepas menamatkan perkhidmatan, kata Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari.

Beliau berkata kebanyakan mereka menceburi bidang keusahawanan, selain terlibat dalam industri keselamatan dan bekerja di sektor swasta.

“Kementerian Pertahanan sentiasa bekerjasama rapat dengan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dalam memastikan veteran ditawarkan peluang kerjaya kedua yang bersesuaian.

“Sebahagian besar daripada mereka menamatkan perkhidmatan pada usia sekitar 40 tahun. Mereka masih muda dan berpotensi besar untuk terus menyumbang dalam pelbagai sektor," katanya selepas Program Santuni Veteran ATM menerusi Program Peduli Veteran MADANI (PVM) daerah Sabak Bernam di Jalan Sentosa, Pasir Panjang di Sekinchan di sini hari ini.

Adly berkata setakat ini terdapat sebanyak 312,000 veteran ATM meliputi pelbagai peringkat usia berdaftar dengan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV).  

Beliau berkata Program Veteran MyWIRA yang dilaksanakan oleh Kementerian Pertahanan bersama KESUMA menjadi antara platform penting dalam menyusun penempatan semula veteran ke dalam industri yang memerlukan tenaga kerja berdisiplin dan berkemahiran tinggi.

Dalam pada itu, Adly berkata kementeriannya bersikap terbuka terhadap cadangan melibatkan veteran ATM dalam operasi kawalan sempadan seperti di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) yang terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri (KDN).

“Kita memang sentiasa terbuka (dengan cadangan berkenaan) supaya pengalaman veteran-veteran kita boleh dimanfaatkan kerana mereka masih masih muda.

“Sebenarnya mereka juga boleh menyambung kerjaya kedua melalui kerjasama dengan KDN dan memang kita akan memberikan kerjasama seperti mana ada veteran kita diberi tanggungjawab sebagai renjer hutan yang sehingga kini berjumlah kira-kira 300 orang,” katanya.

Adly juga menyambut baik cadangan pengambilan veteran sebagai warden di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) dan menyarankan agar perbincangan lanjut diadakan bagi menentukan peranan yang bersesuaian. 

Dalam perkembangan berasingan, Adly berkata kerajaan dijangka membina 62 buah rumah baharu kepada veteran di seluruh negara pada tahun ini dengan 15 daripadanya telah dibangunkan menerusi kerjasama Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dan JHEV. 

"Memang kita tahu keperluan itu agak tinggi tetapi kita cuba memenuhinya. Ada kalanya, kita tidak dapat membina rumah tetapi kita buat pembaikan rumah. 

"Justeru, tahun ini sebanyak 220 buah rumah disasarkan dibaiki dengan purata 20 hingga 30 buah rumah setiap negeri," katanya. 

Terdahulu, Adly menyantuni 14 veteran dan balu veteran di sekitar daerah ini meliputi mereka yang hilang upaya dan sakit kronik.

PVM adalah inisiatif Kementerian Pertahanan dengan kerjasama JHEV bagi menyantuni veteran ATM secara bersemuka sekali gus mengenal pasti keperluan mereka.   

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan