JENAYAH & MAHKAMAH

Polis Tumpaskan Dua Sindiket Edar Dadah Libatkan Nilai Rampasan Lebih RM450,000

21/04/2025 06:24 PM

KUALA LUMPUR, 21 April (Bernama) -- Polis menumpaskan dua sindiket pengedaran dadah dalam operasi berasingan yang dijalankan pada 16 hingga 18 April lepas di sekitar ibu negara melibatkan rampasan bernilai lebih RM450,000.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa berkata dalam operasi pertama pada 16 April, polis melakukan serbuan ke atas dua kediaman di kawasan Mont Kiara yang membawa kepada penahanan lima lelaki dan dua wanita tempatan berumur 20 hingga 28 tahun.

Beliau berkata hasil pemeriksaan di dalam bilik tidur satu daripada dua residensi berkenaan telah menjumpai tiga beg berisi dadah jenis ganja dengan anggaran berat 32 kilogram (kg) dan biskut ganja (2kg).

“Susulan penahanan tujuh individu terbabit, polis membuat satu lagi serbuan di hadapan kediaman di Jalan Duta pada 17 April yang membawa kepada tangkapan seorang lelaki berumur 31 tahun. Pemeriksaan lanjut di dalam kereta milik suspek mendapati satu kotak berisi dadah jenis biskut ganja seberat 7kg.

“Selain rampasan dadah, polis turut menyita wang tunai, motosikal, tiga kereta masing-masing jenis Honda City, Honda Civic dan Proton X70 dengan nilai keseluruhan rampasan dan sitaan dianggarkan RM385,620 manakala enam daripada lapan suspek ditahan positif ganja,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur di sini hari ini.

Rusdi berkata modus operandi sindiket adalah dengan mendapatkan bekalan dadah dari negara jiran secara tempahan dan mengedarkannya semula, kedua-dua dilakukan secara dalam talian, manakala semakan mendapati dua suspek mempunyai rekod lampau melibatkan membuat laporan palsu dan curi kenderaan.

Beliau berkata dalam operasi kedua pada 18 April, pihaknya menyerbu sebuah pusat hiburan di Kepong Baru pada 1.10 pagi dan membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan berusia 49 tahun.

Beliau berkata hasil pemeriksaan lanjut, polis menjumpai serbuk methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) seberat 3.5 kg, 112 batang rokok ganja, pil eramin 5, ketamin dan pil ekstasi yang disorok di dalam almari kayu berkunci untuk mengaburi pihak polis.

“Pada hari sama, serbuan turut dilakukan terhadap bilik berasingan di premis itu yang membawa kepada tangkapan dua lelaki tempatan dan empat wanita warga asing berumur 26 hingga 44 tahun serta menjumpai satu beg kertas berisi dadah jenis serbuk MDMA seberat 350 gram.

“Ujian saringan awal air kencing mendapati lima suspek positif dadah jenis methamphetamine dan ketamin manakala semakan rekod lampau mendapati seorang suspek lelaki tempatan mempunyai rekod jenayah di bawah Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya.

Menurut Rusdi, sindiket itu aktif sejak sebulan lepas dan modus operandi mereka adalah dengan menyorokkan bekalan dadah di tempat tersembunyi di dalam premis itu supaya tidak dikesan oleh pihak berkuasa.

Rusdi berkata nilai keseluruhan rampasan bagi kedua-dua operasi terbabit adalah RM458,420 dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Kesemua suspek (kedua-dua operasi) direman selama tujuh hari hingga 23 April bagi membantu siasatan dan polis akan melakukan siasatan lanjut bagi mengesan (anggota) rangkaian sindiket yang masih bebas dan harta-harta orang berkenaan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan