IPOH, 21 April (Bernama) -- Kerajaan Perak sedang dan telah melaksanakan beberapa inisiatif termasuk menjalin kerjasama strategik dengan sektor industri dan institusi pengajian tinggi dalam pembangunan teknologi kecerdasan buatan (AI), sebagai usaha mendepani cabaran dalam sektor teknologi dan tenaga kerja masa kini.
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) negeri Mohd Azlan Helmi berkata kerajaan negeri turut memperkukuh program latihan semula dan peningkatan kemahiran melalui institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negeri seperti Institut Latihan Perindustrian, GiatMARA dan Kolej Komuniti.
“Kerajaan negeri mengambil maklum bahawa peralihan kepada penggunaan teknologi AI memberi cabaran besar kepada tenaga kerja sedia ada.
“Isu penggantian pekerjaan oleh automasi dan robotik merupakan satu realiti yang sedang berlaku, bukan sahaja di Malaysia malah di seluruh dunia. Namun, pendekatan kita bukanlah untuk menolak AI, sebaliknya menguruskan peralihan ini dengan penuh tanggungjawab,” katanya ketika sesi Penggulungan Perbahasan Titah Diraja pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.
Mohd Azlan berkata teknologi AI seharusnya dimanfaatkan untuk memudahkan kehidupan, bukan menindas, dan perlu dilihat sebagai satu peluang serta pemangkin kemajuan, bukan ancaman.
“Tetapi untuk itu, kita mesti bertindak mulai hari ini – dengan dasar yang inklusif, latihan menyeluruh dan kawalan yang beretika,” katanya.
Sementara itu, menyentuh status terkini pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) di kawasan DUN Batu Kurau sehingga Februari lalu, Mohd Azlan memaklumkan bahawa dua menara baharu telah siap dibina dan beroperasi, masing-masing di Kampung Cebuk Pelanduk dan Simpang Empat, Anak Kura.
“Sebanyak 21 stesen pemancar juga telah siap dinaik taraf bagi meningkatkan mutu dan kualiti liputan telekomunikasi sedia ada.
“Bagi perkhidmatan jalur lebar talian tetap, sebanyak 2,026 daripada 2,763 premis telah disediakan dengan capaian gentian optik berkeupayaan gigabit, yang dijangka siap secara berperingkat menjelang penghujung 2025,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial