Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar
JAKARTA, 21 April (Bernama) -- Industri francais Indonesia yang berkembang pesat menawarkan peluang pertumbuhan penting bagi perniagaan Malaysia yang berhasrat memperkukuh operasi di peringkat serantau, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Indonesia yang mempunyai penduduk melebihi 270 juta dan kelas pertengahan yang semakin meningkat kini diiktiraf sebagai antara pasaran paling dinamik dan strategik bagi francais di Asia Tenggara.
Ahmad Zahid berkata francais adalah model keusahawanan yang terbukti berjaya dan mampu menjana peluang pekerjaan.
“Saya yakin Malaysia dan Indonesia boleh terus memacu pertumbuhan ekonomi inklusif melalui kerjasama francais yang lebih mendalam di samping mewujudkan ekonomi serantau yang lebih berdaya tahan dan berdaya saing,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Terdahulu beliau menghadiri majlis makan tengah hari bersama-sama pemain utama industri francais Indonesia sempena lawatan rasmi beliau selama tiga hari di sini yang berakhir esok.
Beliau turut menegaskan bahawa sektor makanan dan minuman terus meneraju pertumbuhan francais di Indonesia, dengan jenama Malaysia seperti OldTown White Coffee meraih kedudukan kukuh bersama-sama syarikat gergasi serantau seperti KFC dan Chatime.
Dalam sektor pendidikan dan latihan, Ahmad Zahid berkata jenama Malaysia seperti Smart Reader Kids dan Global Art telah memberikan sumbangan penting, mencerminkan penekanan bersama yang diberikan oleh kedua-dua negara terhadap pembelajaran sepanjang hayat.
Selain itu, katanya jenama Malaysia turut berjaya menembusi sektor runcit, fesyen serta kesihatan dan kecantikan, sejajar dengan permintaan pengguna yang meningkat di kawasan bandar di seluruh Indonesia.
“Jenama seperti Bonia kini menjadi jenama yang dikenali di pusat beli-belah Indonesia manakala produk kesihatan dan gaya hidup kami adalah seiring dengan trend baharu dalam golongan belia dan wanita,” kata Ahmad Zahid.
Beliau turut memuji kerjasama berterusan yang terjalin antara Persatuan Francais Malaysia (MFA), Asosiasi Francais Indonesia (AFI), dan Perhimpunan Waralaba dan Lisensi Indonesia (WALI).
Menurut beliau kerjasama ini telah membawa kepada beberapa inisiatif bersama berimpak tinggi seperti penyesuaian Akta Francais Malaysia dalam konteks Indonesia, penyertaan bersama dalam pameran antarabangsa serta penganjuran webinar dan bengkel pendidikan.
Ahmad Zahid berkata Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) yang bekerjasama dengan MFA terus memainkan peranan penting dalam memacu pengembangan francais Malaysia melalui padanan perniagaan strategik dan sokongan pameran.
“Usaha-usaha ini bukan sahaja membuka laluan baharu untuk perniagaan Malaysia di luar negara malah memperteguh hubungan antara rakyat dengan rakyat dan perniagaan Malaysia-Indonesia,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial