SHAH ALAM, 20 April (Bernama) -- Kerajaan Selangor merancang untuk menghantar pegawai Unit Pengurusan Bencana Negeri ke luar negara selewat-lewatnya Jun ini bagi memperkukuh kemahiran dalam pengurusan pasca bencana, kata Exco Belia dan Sukan negeri Mohd Najwan Halimi.
Mohd Najwan yang juga Exco Pengurusan Bencana berkata langkah tersebut dirasakan perlu sebagai persediaan menghadapi bencana luar jangka seperti insiden letupan saluran gas di Putra Heights, Subang Jaya, atau bencana alam lain seperti gempa bumi.
“Tiada siapa yang mahu berdepan dengan bencana, namun Kerajaan Selangor mahu semua pegawai unit pengurusan bencana diperlengkapkan dengan kemahiran terkini berdasarkan pengalaman negara maju seperti Jepun.
“Walaupun sebelum ini Malaysia dianggap kurang berisiko dilanda bencana seperti gempa bumi, perubahan pergerakan plat tektonik yang kini turut menggoncang negara jiran seperti Filipina dan Thailand kebelakangan ini wajar diberi perhatian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Anggerik di Kompleks Belia dan Sukan Selangor, Seksyen 7, di sini hari ini.
Mohd Najwan berkata pihaknya optimis bahawa inisiatif sedia ada, termasuk mencontohi kaedah pengurusan bencana negara seperti Jepun, dapat memberi input penting kepada Unit Pengurusan Bencana Negeri.
“Saya percaya usaha ini akan mendedahkan kita (unit pengurusan bencana) kepada kemahiran baharu, sekali gus membentuk gerak kerja lebih berkesan dan bersesuaian dengan keperluan semasa,” katanya.
Terdahulu, Mohd Najwan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik menerima kehadiran lebih 5,000 tetamu pada majlis rumah terbuka berkenaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial