Oleh Erma Idayu Mohd Yusop
GEORGE TOWN, 20 April (Bernama) -- Usahawan tani muda dan agromakanan di Pulau Pinang disaran memohon ‘Geran Agropreneur Muda (GAM)’ yang menawarkan hingga RM30,000 bagi memulakan dan mengembangkan bidang yang mereka ceburi.
Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi dan Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi Fahmi Zainol berkata program di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan itu, bertujuan menggalakkan penglibatan belia dalam bidang keusahawanan berasaskan pertanian.
"Sejak 2019 hingga 2024, seramai 12 pemohon geran usahawan tani muda untuk produk industri asas tani (IAT) dan 15 pemohon bagi projek tanaman mendapat geran berkenaan, semua mereka masih aktif sehingga sekarang malah ramai yang berjaya.
"Bagi tahun ini pula, lapan peserta telah membuat pemohonan, empat daripadanya dalam proses untuk melengkapkan dokumen, kita harap ramai lagi golongan muda akan memohon,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Program itu menawarkan bantuan kewangan dan teknikal kepada rakyat Malaysia berumur antara 18 hingga 45 tahun, khususnya yang berminat dalam sektor tanaman, ternakan, perikanan, industri makanan dan asas tani.
“Bagi GAM Start-Up, bantuan diberikan dalam bentuk barangan, dengan nilai maksimum RM30,000 untuk projek huluan pertanian dan RM20,000 bagi projek industri makanan serta asas tani. GAM Scale Up pula menyediakan pembiayaan hingga RM50,000," katanya.
Beliau berkata antara usahawan muda yang memperoleh geran itu yang telah melakar kejayaan ialah Mohamad Amirul Akmal Abdullah mendapat bantuan pada 2017 dan sehingga kini masih giat mengusahakan tanaman seperti labu manis, petola, kacang panjang, peria, labu air dan timun.
Mohamad Amirul Akmal juga pernah menerima Anugerah Usahawan Bumiputera Pulau Pinang 2023 dan Tokoh Pekebun Kecil Agromakanan Negeri Pulau Pinang.
Usahawan Muhammad Amin Yusoff Muhammad Bukhari yang mendapat bantuan GAM pada 2020 pula mengusahakan perniagaan produk makanan menerusi syarikat Baulu Bumbung Lima yang menjual baulu, peniaram, putu kacang, dodol dan kuih loyang.
"Tiada had yang disasarkan untuk GAM, ia terbuka kepada permohonan daripada golongan belia yang layak sebab kita mahu lebih ramai usahawan tani muda di Pulau Pinang memohon kerana banyak faedah yang mereka akan dapat," katanya.
Permohonan GAM boleh dibuat secara dalam talian melalui laman web egam.kpkm.gov.my.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial