KUALA LUMPUR, 19 April (Bernama) -- Kerajaan disaran memperkasakan pengurusan pilihan raya negara dengan menerapkan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan sistem digital moden bagi membantu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melaksanakan proses pilihan raya yang lebih cekap, telus dan menjimatkan kos.
Bendahari Persatuan Internet Kebendaan Malaysia Pathmanathan Muniandy berkata penggunaan teknologi seperti AI, analitik data raya (big data), sistem logistik pintar serta mesin pengundian elektronik mampu mengubah landskap pilihan raya negara.
“Sebagai contoh, kerajaan memperuntukkan RM2.5 juta bagi melaksanakan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning manakala PRK Parlimen seperti di Pulai dianggarkan menelan kos RM4.5 juta.
“Jika penggunaan teknologi ini dioptimumkan, kos sebegini boleh dikurangkan secara signifikan tanpa menjejaskan integriti dan ketelusan proses pilihan raya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata walaupun pelaksanaan awal memerlukan peruntukan besar, ia adalah pelaburan jangka panjang yang menjimatkan kerana dapat mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja manual, mempercepatkan proses pengundian dan pengiraan undi serta mengurangkan risiko kesilapan dan penipuan.
Pathmanathan turut mencadangkan penggunaan mesin layan diri atau vending machine sebagai peti undi elektronik yang boleh mengira undi secara automatik sebaik sahaja proses pengundian ditutup.
“Ini bukan sahaja menjimatkan masa dan tenaga kerja, malah meningkatkan ketelusan serta mengurangkan keperluan kepada pusat pengiraan fizikal. Privasi pengundi juga dapat dipertingkatkan,” katanya.
Tambah beliau penggunaan sistem digital juga mampu mengelak isu seperti gangguan bekalan elektrik atau blackout yang sering menimbulkan spekulasi apabila keputusan pilihan raya diumumkan lewat.
Bagaimanapun, beliau berkata pelaksanaan sistem ini perlu diteliti secara menyeluruh terutama dari aspek keselamatan siber, infrastruktur digital serta keyakinan rakyat terhadap teknologi baharu.
Pathmanathan turut mengesyorkan agar sistem pengurusan pemilih dipertingkatkan dengan teknologi pengecaman wajah dan biometrik untuk mengelak penipuan identiti serta mempercepatkan proses semakan daftar pemilih.
“Transformasi digital dalam urus tadbir pilihan raya bukan bertujuan menggantikan peranan manusia, tetapi menyokong dan memperkukuhkan sistem sedia ada dengan teknologi yang lebih cekap serta berkesan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial