DUNIA

Niaga Hadapan MSM Dijangka Cenderung Diniagakan Dalam Aliran Menurun Minggu Depan

19/04/2025 10:18 AM

Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad

KUALA LUMPUR, 19 April (Bernama) -- Pasaran niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) dijangka diniagakan dengan kecenderungan menurun minggu depan berikutan meningkatnya pengeluaran dan sentimen pasaran yang lemah, kata peniaga minyak sawit David Ng.

Sehubungan itu, beliau menjangkakan komoditi bernilai itu akan diniagakan antara RM3,900 satu tan dan RM4,100 satu tan minggu depan.

Sementara itu, peniaga kanan minyak sawit Interband Group of Companies Jim Teh berkata niaga hadapan MSM berkemungkinan mengalami pembetulan teknikal dalam julat RM3,800 hingga RM4,000 satu tan.

"Terdapat banyak stok di Malaysia dan Indonesia. Disebabkan cuaca yang elok, pengeluaran untuk April dijangka baik di Malaysia dan Indonesia.

“Pembelian fizikal akan datang dari China, terutamanya dengan lawatan Presiden China Xi Jinping baru-baru ini, selain India, Pakistan, Timur Tengah dan Kesatuan Eropah,” tambahnya.

Ketua Penyelidikan Komoditi Sunvin Group yang berpangkalan di Mumbai Anilkumar Bagani menjangkakan niaga hadapan MSM akan berada dalam dalam julat RM3,850 hingga RM4,200 satu tan dengan tumpuan kepada kadar pengeluaran minyak sawit di Malaysia dan kejelasan mandat obligasi jumlah boleh baharu (RVO) Amerika Syarikat untuk 2025 dan 2026.

“Minggu depan tumpuan akan diberikan untuk data pengeluaran minyak sawit pada 1-20 April daripada Persatuan Pengilang-Pengilang Kelapa Sawit Semenanjung Selatan (SPPOMA) dan Persatuan Minyak Sawit Malaysia,” katanya.

Beliau berkata pengeluaran SPPOMA pada 1-15 April dianggarkan pada +3.97 peratus dan pasaran menjangkakan pengeluaran minyak sawit akan menunjukkan pertumbuhan dua angka pada April pada asas bulan ke bulan.

Anilkumar berkata terdapat juga jangkaan bahawa Agensi Perlindungan Alam Sekitar AS akan meningkatkan mandat RVO untuk 2025 kepada 5.25 bilion gelen daripada 3.35 bilion gelen pada 2024, yang akan menyebabkan harga minyak kacang soya mendapat kelebihan dan lebih banyak kenaikan harga seterusnya memandangkan stok minyak kacang soya  AS yang lebih rendah.

 “Mandat biodiesel Brazil yang ketika ini pada 14 peratus juga berkemungkinan meningkat sehingga 15 peratus,” tambahnya.

Pada asas Jumaat ke Jumaat, kontrak bulan semerta Mei 2025 susut RM344 kepada RM4,117 satu tan, Jun 2025 turun RM317 kepada RM4,016 satu tan, Julai 2025 merosot RM358 kepada RM3,975 satu tan, Ogos 2025 menyusut RM251 kepada RM3,961 satu tan, September 2025 jatuh RM253 kepada RM3,959 satu tan dan Oktober 2025 turun RM111 kepada RM3,960 satu tan.

Jumlah dagangan mingguan merosot kepada 434,196 lot daripada 627,813 lot minggu sebelumnya, manakala kepentingan terbuka turun kepada 239,000 kontrak daripada 486,398 kontrak sebelumnya.

Harga MSM fizikal untuk April Selatan jatuh RM270 kepada RM4,250 satu tan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan