EKONOMI

Purata Harga MSM Diunjur Cecah RM4,200 Satu Tan Tahun Ini - Kenanga

29/04/2025 11:50 AM

KUALA LUMPUR, 29 April (Bernama) -- Purata harga minyak sawit mentah (MSM) dijangka mencecah RM4,200 satu tan tahun ini susulan premium harga tinggi yang dinikmati minyak sawit berbanding minyak kacang soya pada suku pertama 2025, menurut Kenanga Investment Bank Bhd.

Dalam nota penyelidikan pada Selasa, bank pelaburan itu juga menjelaskan harga MSM bagi 2025 setakat ini telah turun daripada paras tinggi suku keempat 2024, manakala harga premium berbanding minyak kacang soya telah tiada.

Permintaan biodiesel juga berkurangan, terutama di Amerika Syarikat (AS) namun, pembeli giat melakukan pengisian semula stok.

“Secara keseluruhan, defisit bekalan dijangka kekal pada 2025 dengan paras inventori mungkin berkurangan buruk tahun ke tahun justeru, harga berkemungkinan kekal kukuh, antara RM4,000 hingga RM4,500 satu tan.

“Jangkaan kami harga purata MSM adalah RM4,200 satu tan pada 2025 dan RM4,000 satu tan pada 2026,” jelasnya.

Kenanga Investment memaklumkan pihaknya terus memilih perladangan untuk pendapatan bersifat defensif memandangkan permintaan makanan membentuk 70 peratus daripada permintaan minyak makan, dengan 23 peratus sebagai bahan api biodiesel.

Oleh itu, permintaan kekal kukuh dengan pertumbuhan tahunan berterusan walaupun dalam keadaan kelembapan ekonomi global, dasar perlindungan perdagangan dan ketegangan, tambahnya.

Bank pelaburan itu menambah selain itu, lembaran imbangan sektor perladangan kekal kukuh memandangkan banyak syarikat perladangan memegang tunai bersih atau tahap kadar hutang boleh urus, dengan margin kekal baik disokong oleh harga MSM dan isirung sawit yang kukuh.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan