AM

Irmohizam Dilantik Profesor Adjung Di Fakulti Pendidikan, UKM

18/04/2025 04:12 PM

KUALA LUMPUR, 18 April (Bernama) -- Pengarah Urusan Kumpulan World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL) merangkap Ahli Lembaga Pengarah World Trade Centers Association (WTCA) Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim dilantik Profesor Adjung di Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi tempoh dua tahun bermula hari ini hingga 17 April 2027. 

Watikah pelantikan berkenaan disampaikan Dekan Fakulti Pendidikan UKM Prof Dr Mohd Mahzan Awang dan disaksikan Pro Naib Canselor (Strategi & Pembangunan Korporat UKM) Prof Datuk Dr Roslee Rajikan ketika sesi penyerahan yang berlangsung pagi tadi.

Turut menerima watikah pelantikan ialah Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (MUBARAK) Tan Sri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman dan bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad. 

WTCKL dalam kenyataan kepada Bernama memaklumkan pelantikan Irmohizam sebagai Profesor Adjung di Fakulti Pendidikan UKM sangat signifikan kerana beliau merupakan alumni fakulti berkenaan dalam jurusan Doktor Falsafah Pendidikan Dewasa dan Perkembangan Profesional serta Sarjana Undang-Undang di Fakulti Undang-Undang UKM.

Selain itu, peranan beliau sebagai Ahli Lembaga Pengarah WTCA juga akan membuka peluang luas untuk Fakulti Pendidikan UKM menonjol di peringkat antarabangsa dan memperkukuh jaringan global UKM dalam bidang pendidikan dan industri acara perniagaan.

Sementara itu, Irmohizam menerusi kenyataan sama berkata beliau akan memberikan yang terbaik dalam melaksanakan amanah itu terutama dalam pendidikan berteraskan industri dan mengadakan kolaborasi dengan pihak tertentu bagi menaikkan nama Fakulti Pendidikan UKM.

“Saya amat teruja untuk melibatkan diri dalam bidang pendidikan dan akan memastikan ilmu pengetahuan dan pengalaman saya akan dikongsikan dengan sebaiknya bersama warga UKM,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan