AM

Lebih 11,000 PKS Laksana Pendigitalan Melalui Kempen Exabytes-MYNIC

20/04/2025 11:37 AM

CYBERJAYA, 20 April  (Bernama) -- Lebih 11,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia telah mengorak langkah ke arah pendigitalan menerusi kempen anjuran penyedia penyelesaian digital, Exabytes dengan kerjasama MYNIC Bhd, pentadbir rasmi domain negara.

Kempen di seluruh negara yang berlangsung dari 1 April hingga 31 Dis 2024 itu, direka bagi membantu usahawan tempatan mengukuhkan perniagaan dalam talian mereka dengan mendaftar domain .MY dan mengguna pakai alatan digital.

Peserta berpeluang memenangi sebuah Tesla Model 3 baharu dengan mendaftar atau memperbaharui langganan domain untuk tempoh lima tahun menerusi Exabytes atau memperoleh penyertaan tambahan dengan berbelanja RM500 ke atas bagi mana-mana penyelesaian pengehosan.

Naib Presiden Pemasaran Exabytes Group Michelle Yap berkata kempen itu bukan sekadar membantu PKS wujud dalam dunia digital malah memperkasakan mereka dengan alatan, kemahiran serta strategi digital yang membantu perniagaan. 

“Kini laman sesawang mereka adalah pintu utama bagi perniagaan mereka. Domain .MY adalah identiti mereka dan apa yang mereka lakukan dalam talian boleh menentukan sama ada perniagaan mereka mampu bertahan atau terus berkembang.

“Untuk 2024 sahaja, Exabytes telah merekodkan pertumbuhan 44.9 peratus dalam pendaftaran domain baharu PKS. Exabytes turut diiktiraf oleh MYNIC sebagai Pendaftar Domestik Paling Meningkat dengan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 88.57 peratus, menceminkan peningkatan kesedaran digital dalam kalangan usahawan Malaysia,” katanya pada majlis penutup kempen tersebut di Tesla Experience Centre di sini baru-baru ini. 

Melangkah ke hadapan, Yap berkata Exabytes dan MYNIC akan meneruskan momentum itu dengan kempen edisi 2025 bertemakan 'Drive Dreans with Domains',  yang memberi tumpuan kepada memperkasakan lebih ramai usahawan Malaysia melalui digital yang lebih mendalam dengan penggunaan alat kecerdasan buatan (AI), meningkatkan keselamatan siber dan pemasaran pintar.

“Masa hadapan milik mereka yang berani dan di Exabytes kami komited untuk memastikan setiap usahawan Malaysia mempunyai alat dan semangat untuk merebut peluang pada masa hadapan,” katanya. 

Sementara itu, Naib Presiden Kanan Operasi MYNIC Shahrel Hanafiah menekankan kepentingan domain .MY sebagai lambang digital yang berwibawa. 

“.MY bukan sekadar alamat digital tetapi simbol kepada kekuatan cerita dan visi jenama mereka. Ia memberi isyarat kepada dunia bahawa organisasi mereka menghargai keaslian, profesionalisme dan kehadiran dalam ruang digital yang lebih bermakna,” katanya

Sempena majlis penutup kempen tersebut, Exabytes dan MYNIC turut mengumumkan pemenang bertuah bagi Tesla Model 3.

Kereta tersebut dimenangi oleh Zaidi Parmoto, 45, dari Johor Bahru, yang bekerja sebagai Pengurus Kreatif di Myoutdoor.com SdnBhd, sebuah syarikat pembangun laman sesawang. 

Zaidi, yang menggunakan perkhidmatan Exabytes sejak 2010, berkata domain memainkan peranan penting dalam pembinaan identiti bagi perniagaan pelanggannya. 

“Saya percaya penting bagi setiap perniagaan memiliki nama domain yang unik kerana dalam era digital ia adalah identiti syarikat kita. Melalui domain .MY pelanggan dengan mudah boleh mengenali perniagaan itu adalah tempatan dan boleh dipercayai,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan